Pegawai pengurus N64 Sulabayan, Johan Okasa mengumumkan keputusan bagi DUN N64 Sulabayan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah-ke16 di Dewan Masyarakat Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Gabungan Rakyat Sabah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 apabila memperoleh 38 kerusi daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.

Dalam pengumuman keputusan rasmi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 kerusi, Barisan Nasional (14) dan Parti Bersatu Sabah (7).

Manakala Warisan Plus Sabah pula mendapat 32 kerusi.

Warisan memperoleh 27 kerusi, PKR (2), bebas (3) dan UPKO (1).

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, PRN Sabah kali ini menyaksikan seramai 749,083 orang atau 66.61 peratus telah mengundi.

Jumlah tersebut meliputi jumlah pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos yang telah mengundi.

”Secara keseluruhannya, SPR berpuas hati dengan proses pengundian pada 26 September 2020 dan pengundi-pengundi berdaftar telah dapat menunaikan hak dan tanggungjawab mereka.

”Selain itu, PRU DUN Sabah Ke16 juga tidak berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini yang boleh menjejaskan proses pilihan raya,” katanya.

Menurut beliau, dalam melaksanakan urusan pilihan raya, SPR sentiasa mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

SPR telah mencuba sedaya-upaya yang boleh untuk menjadikan PRN Sabah Ke-16 yang terbaik, ujarnya.

Katanya, SPR akan mengkaji segala kelemahan yang berlaku dan akan menambah baiknya. – MalaysiaGazette