Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Persatuan Bola sepak Kedah (KFA) akan melunaskan baki bayaran tunggakan tiga bulan gaji pemain skuad Lang Merah sebelum 30 Sept ini, kata Presidennya Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata pembayaran tunggakan gaji itu melibatkan gaji bagi April, Mei dan Jun manakala gaji Mac, Julai, Ogos dan Sept telah dijelaskan sebelum ini.

“Gaji perlu dibayar sebelum tujuh hari bulan pada setiap bulan, jadi bayaran semasa semuanya sudah diselesaikan mengikut waktu ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan untuk penduduk terjejas oleh COVID-19 di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kota Setar di sini, hari ini.

Menurutnya dengan pembayaran itu, semua tunggakan gaji pemain dan pegawai skuad Hijau Kuning akan selesai sepenuhnya.

Sebelum ini KFA menghadapi kemelut kewangan sehingga menyebabkan gaji pemain tertunggak selama empat bulan bermula Mac lalu, bagaimanapun KFA komited untuk menyelesaikan tunggakan itu sebelum musim ini berakhir.

Sementara itu, katanya KFA juga telah menghantar surat pemohonan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memohon pelanjutan tempoh bagi melengkapkan proses pelesenan kelab yang sepatutnya dihantar pada 15 Sept lalu.

“Berhubung pelesenan kelab, rundingan bersama pihak FAM ketika ini tidak menghadapi sebarang masalah,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast