Pelajar, Izzat Amir Idham, 21, bercakap pada Majlis Pelancaran Peruntukan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJAJA) KPT di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 SEPTEMBER 2020

BANGI – Bakal-bakal graduan yang akan menamatkan pengajian masing-masing menyifatkan program KPT-CAP yang dilancarkan kerajaan hari ini mampu menjadi platform untuk mendapatkan pekerjaan yang serasi buat mereka.

Malah, rata-rata mereka yang ditemui MalaysiaGazette memberitahu, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT-CAP) yang dicetuskan kerajaan itu telah memberikan nafas lega kepada bakal graduan yang akan menempuh alam pekerjaan.

Bakal graduan Izzat Amir Idham, 21, berkata, beliau kini “celik mata” selepas mendengar amanat yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin pada majlis pelancaran KPT-CAP hari ini.

Katanya, dia tahu bahawa ruang pekerjaan yang ada ketika ini semakin sempit lebih-lebih lagi apabila negara kini berdepan dengan wabak Covid-19 yang tidak tahu kesudahannya.

“Saya banyak dengar kata-kata daripada senior yang beritahu sekarang ini sukar untuk nak dapatkan pekerjaan.

“Jadi, dengan adanya program yang semacam ini ia boleh membantu kami mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan bidang yang saya pelajari,” katanya yang merupakan pelajar jurusan undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bagi Nur Sabrina Syahirah Md Nazari, dia berpendapat, insiatif yang diambil oleh kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi dalam mewujudkan program tersebut mampu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan universiti.

Pelajar, Nur Sabrina Syahirah Md Nazari, 20, bercakap pada Majlis Pelancaran Peruntukan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJAJA) KPT di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 SEPTEMBER 2020

Ujarnya, dengan mengikuti program tetrsebut graduan boleh mendapat pekerjaan dengan cepat berbanding sekiranya mereka bersusah payah mencari pekerjaan sendiri.

“Sekarang ini memang susah nak cari kerja sebab ekonomi yang kurang berkembang ditambah pula dengan penularan wabak Covid-19.

“Apa yang berlaku ini akan menyebabkan graduan lebih sukar untuk mereka mendapatkan pekerjaan,” ujarnya.

Pelajar Perakaunan Universiti Putra Malaysia, Nazrul Irfanradi Nazarulanuar, mencadangkan agar kerajaan memperluaskan lagi program KPT CAP agar lebih ramai lagi graduan akan menerima manfaaatnya.

Pelajar, Nazrul Irfanradi Nazarulanuar, 21, bercakap pada Majlis Pelancaran Peruntukan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJAJA) KPT di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 SEPTEMBER 2020

Katanya, berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad pada pelancaran hari ini hanya kira-kira 20,000 graduan yang akan mendapat manfaat daripada program tersebut.

“Saya fikir program ini perlu diperluaskan lagi agar lebih ramai graduan di luar sana yang akan mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Sementara itu, Nur Farah Shazana Rashidi, 21, sangat berterima kasih dengan kerajaan yang sangat prihatin terhadap masa depan golongan graduan.

Pelajar, Nur Farah Shazana Rashidi, 21, bercakap pada Majlis Pelancaran Peruntukan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJAJA) KPT di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 SEPTEMBER 2020

Ujarnya, apa yang dilakukan oleh kerajaan itu jelas menunjukkan bahawa pemerintah negara tidak memandang dingin dengan nasib dan masa depan golongan graduan.

“Dengan menyertai program ini graduan akan dapat maklumat yang lebih luas sekaligus mampu mendapatkan pekerjaan sesuai dengan kelayakan yang mereka ada,” katanya yang merupakan pelajar bidang perakaunan. – MalaysiaGazette