Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew. foto AFIQ RAZALI, 13 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Polis menahan pasangan berusia 27 dan 26 tahun yang disyaki terlibat dalam penipuan pakej pelancongan membabitkan kerugian lebih RM611,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, seramai 509 orang didapati menjadi mangsa penipuan pasangan itu menerusi syarikat milik mereka, I&I Paradise Venture.

Katanya, polis menerima laporan berkaitan penipuan pakej pelancongan itu, termasuk 30 laporan polis di IPD Sungai Buloh, membabitkan kerugian RM26,193 dan 10 laporan polis melibatkan penipuan wang berjumlah RM232,110 membabitkan lelaki berkenaan yang merupakan pengarah syarikat itu dan seorang wanita.

“Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, sebatan dan denda sebelum semua elemen polis digerakkan untuk mengesan dan menangkap kedua-dua suspek tersebut.

“IPD Sungai Buloh berjaya mengesan dan menangkap kedua-dua suspek pada Jumaat lalu dan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Kedua-dua mereka direman untuk siasatan polis mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, tambah beliau, polis Gombak dan Ampang Jaya masing-masing menerima tujuh laporan dengan kerugian sebanyak RM15,430.90 dan RM261,269.

“Bagi daerah Shah Alam terdapat enam laporan polis dengan kerugian RM19,472,” ujarnya.

Menurut Muhammad Yazid, polis turut menerima tiga laporan dari penduduk Subang Jaya dengan kerugian sebanyak RM4,097, Kajang dengan empat kes (RM48,929) serta Sepang dua kes (RM3,493).

“Polis menasihatkan orang awam agar berhati-hati dan tidak teruja atau terlalu percayakan pakej-pakej murah pelancongan yang ditawarkan.

“Jika boleh sila ambil masa menyemak dengan hotel-hotel berkaitan atau Kementerian Pelancongan untuk pengesahan status syarikat atau agensi terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette