Pemain Melaka United yang beraksi dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah malam tadi, tidak terkecuali daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

MELAKA – Pemain Melaka United yang beraksi dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah malam tadi, tidak terkecuali daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Negeri Rahmad Mariman berkata kesemua pemain Melaka United yang tiba dari Sabah hari ini, perlu menjalani HSO bermula dari tarikh ketibaan di pintu masuk antarabangsa (PMA) sehingga keputusan makmal diperoleh.

“Selain pemain Melaka United, semua individu termasuk yang terlibat dengan perlawanan Liga Super di Kota Kinabalu, Pilihan Raya Negeri Sabah atau melancong ke negeri itu wajib menjalani HSO dan pelepasan akan diberikan sekiranya ujian makmal menunjukkan keputusan negatif COVID-19.

Jika mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang, mereka perlu ke klinik kesihatan untuk menjalani saringan ulangan COVID-19,” katanya pada sidang media berhubung situasi terkini COVID-19 di Melaka, yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr Ismail Ali di Klinik Kesihatan Cheng di sini, hari ini.

Pada saingan Liga Super di Stadium Likas malam tadi, Melaka United tewas 2-3 kepada Sabah.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata faktor kesihatan sentiasa menjadi keutamaan walaupun Melaka United dijadual bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Jumaat ini, dan berharap semua pihak akur terhadap arahan tersebut memandangkan terdapat peningkatan kes positif.

Beliau turut menasihatkan rakyat negeri ini agar tidak menyimpan atau merahsiakan sebarang maklumat penting berkenaan kontak dengan kes positif COVID-19 atau maklumat yang berkaitan daripada pihak berkuasa.

Untuk rekod, terdapat dua kes baharu positif COVID-19 dikenal pasti di Melaka dengan kedua-duanya melibatkan kawasan Merlimau, Jasin dan mereka dipercayai pulang bercuti dari Semporna, Sabah.

Sabtu lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata semua individu yang baru tiba dari Sabah wajib menjalani saringan di PMA bermula semalam sehingga 10 Okt ini.

Katanya mereka juga wajib menjalani HSO dengan kesemua individu di PMA akan diberi surat HSO dan dipakaikan gelang kuarantin.- BERNAMA