Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak empat kluster baharu telah dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini iaitu dua di Sabah, satu di Selangor dan satu di  Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Jalan Bomba, Sabah adalah kes ke-11,110 merupakan lelaki warganegara Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah pada 20 September lalu.

Lelaki itu bergejala demam dan batuk dan didapati positif Covid-19 pada hari ini dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Hasil saringan kontak rapat mendapati dua lagi kes positif

”Pengenalpastian kontak rapat dan saringan masih lagi diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara Kluster Jalan Utara Sabah pula dikesan hasil saringan petugas kesihatan di sebuah institut latihan di Sandakan, Sabah.

Dua petugas kesihatan telah dikesan positif Covid-19 pada hari ini walaupun tidak bergejala dan mereka dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan.

Manakala Kluster Benteng, Selangor dikenal pasti hasil saringan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Klang yang telah dijalankan dari 16 hingga 25 September lalu yang mana lapan orang PATI dikesan positif Covid-19.

Hasil saringan kontak rapat mendapati satu lagi kes positif bagi kluster itu hari ini melibatkan anggota polis.

Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan sehingga kini, seramai 148 individu telah disaring.

Hasil saringan itu didapati sembilan kes positif dan 139 negatif.

Satu lagi ialah Kluster Bakawali, Johor iaitu kes ke-10,911 dan kes ke-10,912 merupakan pasangan suami isteri warganegara Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah pada 13 September 2020 sehingga 18 September 2020.

Pada 24 September lalu, kedua-dua kes bergejala demam, selesema dan batuk yang kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Mereka didapati positif Covid-19 pada 26 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Johor.

Hasil saringan kontak rapat mendapati dua lagi kes positif bagi kluster ini, kata Noor Hisham.

Sehingga 29 September 2020, seramai 25 individu telah disaring dan didapati empat kes positif dan 13 lagi negatif manakala lapan individu masih menunggu keputusan. – MalaysiaGazette