Ujian saringan untuk Kluster Bangau-Bangau telah diperhebatkan oleh Kementerian Kesihatan  Malaysia (KKM) di  Semporna, Sabah kerana khuatir lebih ramai mungkin dikesan jangkitan Covid-19.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Ujian saringan untuk Kluster Bangau-Bangau telah diperhebatkan oleh Kementerian Kesihatan  Malaysia (KKM) di  Semporna, Sabah kerana khuatir lebih ramai mungkin dikesan jangkitan Covid-19.

Ini kerana KKM bimbang virus kluster itu sudah merebak secara meluas dalam kalangan komuniti di perkampungan dan daerah Semporna.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penelitian pihaknya terhadap kluster itu mendapati trend kenaikan kadar positif kawasan itu sangat membimbangkan kerana menunjukkan trend kebarangkalian kadar jangkitan 65.5 peratus.

“Setakat ini 421 individu telah disaring dan 276 daripadanya disahkan positif Covid-19 Kluster Bangau-Bangau. Kluster Bangau-Bangau membimbangkan kami sebab virus sudah berada dalam komuniti dan menjejaskan ramai invididu.

“Jadi aktiviti saringan dilaksanakan di kawasan itu dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) Secara Pentadbiran di Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau sehingga 12 Oktober ini,’ katanya dalam sidang media Covid-19 hari ini.

Menurut Noor Hisham, dalam seminggu lagi, petugas kesihatan akan meningkatkan saringan ke setiap kampung, individu dalam komuniti kampung membabitkan kluster Bangau-Bangau.

Ujar beliau, mengikut penanda aras Pertubuhan Kesihatan Sedunia sekiranya kadarnya 60 peratus ke atas maka ia bermaksud ramai invidu positif dan perlu disaring.

“Sehubungan itu, kita akan mempergiatkan ujian saringan itu terhadap merekadan kes positif yang dikesan akan dikuarantin segera untuk rawatan lanjut,” katanya.- MalaysiaGazette