Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Pemimpin parti Warisan, Datuk Mohamaddin Ketapi akan dipanggil memberi keterangan berhubung kenyataannya ketika berceramah semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya akan memanggil bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu dalam masa terdekat.

Katanya, pemimpin parti Warisan itu itu akan diambil keterangan di Sabah dan kesnya akan dikendali pasukan khas yang ditubuhkan.

“Kita akan panggil dia dalam masa terdekat, temujanji telah dibuat. Kita akan panggil dia di Sabah, dia juga setuju untuk tampil memberi keterangan.

“Kita ada pasukan ditubuhkan di Sabah termasuk dengan JSJ, untuk kendalikan kes ini,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau ditanya mengenai perkembangan siasatan yang dilakukan oleh pihaknya terhadap Mohamaddin.

Artikel berkaitan: Mohamaddin terima 72 laporan polis – Bukit Aman

Terdahulu, polis menerima sebanyak 97 laporan terhadap Mohamaddin berkenaan kenyataannya berkait peristiwa pencerobohan Lahad Datu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali sebelum ini berkata, 62 laporan itu diterima di Sabah, dimana satu laporan dibuat oleh pejabat kesihatan Lahad Datu dan 35 di Semenanjung.

Media sebelum ini melaporkan Mohamaddin disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Kenyataan Mohamaddin dalam satu video tular apabila beliau mendakwa pasukan keselamatan mengebom “kelapa sawit dan rumah”, manakala pasukan di darat “berperang dengan ayam dan anjing”.

Kenyataan beliau itu telah, mengundang kecaman daripada pelbagai pihak dengan ada yang mengatakan ia sebagai satu tuduhan melampau dan keterlaluan.

Artikel berkaitan: Perlekeh insiden Lahad Datu, Mohammaddin tidak hormati polis, tentera

Pada 11 Februari 2013, kira-kira 200 pengganas Sulu memasuki perairan Sabah dan mendarat di Lahad Datu, menyebabkan pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia yang berakhir dengan kematian 56 pengganas, 10 anggota keselamatan, dan enam orang awam.

Mohamaddin kemudiannya tampil menafikan beliau ada memperkecilkan pasukan keselamatan serta mendakwa kenyataannya itu telah dipesongkan dan diambil di luar konteks.

Sementara itu, ketika ditanya perkembangan siasatan terhadap kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali yang melanggar perintah kuarantin wajib selepas pulang dari Turki pada Julai lalu, Huzir berkata, siasatan bagi kes itu juga akan selesai dalam masa terdekat.

“Kita telah dapat balik kertas siasatan (IP). Ada beberapa tindakan lagi yang kita perlu laksanakan dalam masa terdekat kita dapat selesaikan arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kita akan hantar balik IP kepada Jabatan Peguam Negara selepas tindakan kita selesai,” jelas beliau.

Bukit Aman pada 24 September lalu memaklumkan, pihaknya meneruskan siasatan terhadap Khairuddin selepas Jabatan Peguam Negara memberi arahan lanjut kepada polis mengenai kes tersebut. – MalaysiaGazette