BUKIT MERTAJAM – Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida ketika empat sahabat tertidur dalam sebuah kereta dinaiki semasa berhenti di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth, dekat sini 16 September lepas, dijangka dibenarkan keluar dari wad minggu ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP, Shafee Abd Samad berkata doktor yang merawat Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, memaklumkan ketika ini wanita berkenaan menunjukkan perkembangan sangat positif dan berada dalam keadaan baik.

“Polis juga dimaklumkan Nor Aqilah hari ini menjalani rawatan fisioterapi dan masih dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan akan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan di bahagian otak.

“Buat masa ini, perkembangan Nor Aqilah semakin positif tanpa menunjukkan sebarang kemurungan selepas dimaklumkan cerita sebenar dan juga kematian kembarnya. Doktor turut memaklumkan bahawa dia akan dibenarkan keluar wad minggu ini memandangkan dia memberi maklum balas positif,” katanya di sini, hari ini.

Khamis lepas, Nor Aqilah dilaporkan sedar daripada koma selepas seminggu menjalani rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.

Dalam kejadian 16 September lepas, tiga wanita, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah Mohd Safwan meninggal dunia, manakala Nor Aqilah kritikal, selepas keempat-empat mereka yang berumur 21 tahun ditemui tidak sedarkan diri di kawasan tempat letak kereta stesen minyak Sama Gagah, dipercayai akibat keracunan karbon monoksida apabila mereka tertidur semasa berehat di dalam kereta itu, dengan cermin tingkap tertutup.

Nor Adilah yang merupakan kembar kepada Nor Aqilah pada awalnya terselamat namun meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak, 4.23 petang 17 September. – Bernama