ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

KUALA LUMPUR – Seorang penuntut warga asing direman empat hari selepas dicekup ketika sedang memecah sebiah kediaman di Petaling Jaya awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, semasa polis peronda tiba di tempat kejadian, suspek yang menuntut di pusat pengajian tinggi swasta itu sedang menggoncang dan mengetuk pintu pagar rumah tersebut dengan plat besi.

Suspek yang berusia 24 tahun itu bertindak agresif dan cuba memukul polis dengan plat besi yang dipegang lalu berlaku pergelutan .

Kejadian itu menyebabkan seorang anggota polis cedera ringan.

Nik Ezanee berkata, tindakan agresif suspek berlarutan ketika dia dibawa ke balai polis apabila bertindak menjerit dan menendang pintu utama hingga bingkai pintu rosak.

Hasil siasatan yang dijalankan, suspek didapati positif ganja.

Dia kini disiasat di bawah Seksyen 353 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967, yang mana jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette