PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas rugi RM444,934 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mengatakan kononnya dia menerima satu bungkusan, di samping ada wang yang dimasukkan ke akaunnya pada 3 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, ia bermula apabila wanita berumur 79 tahun itu menerima satu panggilan dari Ibu Pejabat Poslaju Malaysia yang memberitahu kononnya ada satu bungkusan dihantar ke Sabah mengandungi kad pengenalan dan kad ATM atas warga emas itu.

Beliau berkata, pada 5 Julai pula wanita itu menerima satu pesanan ‘WhatsApp’ dari seorang lelaki bernama Chong yang memberitahu warga emas itu menerima wang sejumlah RM148,000 yang dimasukkan ke akaun miliknya dari penama Chang Poon Siew.

Menurutnya, warga emas itu kemudiannya ditipu kononnya dia akan ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan berkaitan penggubahan wang haram, dan perlu membuat pembayaran serta memindahkan wang dari akaunnya sebagai penyelesaian.

“Transaksi pertama pada 6 Ogos berjumlah RM29,934 wang simpanan wanita itu dimasukkan ke dalam akaun suspek pertama, manakala transaksi kedua dan ketiga dilakukan pada 17 dan 24 Ogos, apabila warga emas itu memasukkan dua keping cek bernilai bernilai RM100,000 dan RM315,000 ke akaun bank suspek kedua,” katanya.

Nik Ezanee berkata, semalam ketika di kaunter bank, wanita itu ditanya oleh pegawai bank tujuan pengeluaran wang yang banyak, dan selepas dia menceritakan kejadian yang berlaku, pegawai berkenaan memberitahu bahawa dia telah ditipu.

Beliau berkata, warga emas itu kemudiannya membuat laporan polis pada petang hari yang sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda. – Bernama