Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Kawalan Rentas Daerah di seluruh negeri Sabah berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam esok, 3 Oktober 2020.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya berkata, Kawalan Rentas Daerah itu dilaksanakan sehingga 16 Oktober ini.

Bagaimanapun, kata beliau, perkhidmatan perlu (essential services) seperti keperluan bekalan makanan, perubatan, keselamatan dan lain-lain dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas daerah.

“Sepanjang tempoh ini, mereka yang sedang dikuarantin dan akan tamat tempoh kuarantin dibenarkan pulang ke daerah masing-masing atau pulang ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

“Namun, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diumumkan sebelum ini kekal berkuatkuasa seperti biasa,” katanya.

Beliau menyatakan, sebarang maklumat lanjutan akan dimaklumkan oleh kerajaan negeri Sabah melalui Jawatankuasa Bencana Alam Covid-19 yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri. – MalaysiaGazette