Datuk Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Tidak semua kes rasuah yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan perolehan kerajaan telah didakwa dan dituduh di mahkamah kerana kebanyakannya bersifat politik dan persepsi semata-mata.

Itu kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) terhadap kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengenai kes rasuah dan ketirisan melibatkan agensi dan jabatan kerajaan.

Berdasarkan kenyataan tersebut SPRM menyatakan menerima banyak laporan rasuah dan ketirisan dalam perolehan kerajaan.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, sekiranya melihat kes-kes pendakwaan yang dibawa ke mahkamah adalah sangat kurang berbanding laporan yang yang diterima oleh SPRM dan begitu juga yang disabitkan dengan kesalahan.

“CUEPACS difahamkan kes yang melibatkan penjawat awam dijatuhkan hukuman bersalah di mahkamah juga sangat rendah berbanding laporan yang diterima oleh SPRM.

“Dalam hal ini, CUEPACS mendapati kebanyakan laporan salah laku yang dibuat kepada pihak berkuasa terutama SPRM dilakukan oleh pihak yang tidak mempunyai bukti yang cukup,” katanya lagi.

Bagaimanapun jelas Adnan, sebagai pihak berkuasa yang menjalankan amanah, sudah tentu setiap laporan yang diterima akan disiasat dengan teliti.

Menurutnya, setelah siasatan dilakukan kebanyakan kes yang dilaporkan adalah tidak benar dan tidak dituduh di mahkamah.

“Sekiranya dituduh sekali pun tidak semua kes tersebut disabitkan bersalah dan CUEPACS mendapati kebanyakan aduan-aduan yang diterima lebih bersifat ketidakpuasan pihak tertentu kepada pihak lain dan mereka menggunakan pihak berkuasa untuk membuat laporan bagi menyiasat ketidakpuasan hati tersebut.

“CUEPACS berharap dan meminta pihak-pihak di luar sana jangan terlalu banyak bebankan agensi penguatkuasaan seperti SPRM dan polis dengan membuat aduan palsu dan tidak benar semata-mata kerana bermotifkan ketidakpuasan hati atau bersifat politik,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, jika perkara itu terus berlaku, ia hanya akan mewujudkan persepsi yang tidak baik kepada penjawat awam dan perkhidmatan kerajaan.

Katanya, CUEPACS berharap masyarakat tidak terjerat dengan persepsi hanya kerana laporan yang diterima tinggi.

“Sokongan daripada masyarakat amat penting kerana tidak adil untuk melabelkan kesleuruhan perkhidmatan hanya kerana kes-kes terpencil.

“Ketika ini setiap jabatan dan agensi kerajaan mempunyai prosedur yang jelas dan lengkap bagi mengatasi masalah ketirisan yang mungkin wujud.

“Penubuhan Jabatan Audit Negara dan bahagian audit di jabatan masing-masing dengan jelas mampu mengatasi masalah ketirisan yang berlaku dan setiap perolehan kerajaan yang dianugerahkan akan diaudit semula oleh Jabatan Audit Negara dan audit dalam masing-masing.

“Namun kami berpendapat beberapa perkara melibatkan SOP pemberian perolehan perlu diperketatkan lagi untuk atasi perkara ini manakala kerangka bajet untuk setiap perolehan perlu lebih tepat dan terperinci bagi memastikan ia dilaksanakan dengan baik dan mengelakkan ketirisan,’ tegas beliau.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

Kes rasuah ketirisan perolehan kerajaan semakin kritikal – Azam Baki