Tun Abdul Hamid Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad tidak yakin akan berlaku peralihan kuasa dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, jika benar sekalipun dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, beliau percaya Yang di-Pertuan Agong akan membubarkan Dewan Rakyat dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) akan diadakan.

“Entah mengapa, apabila saya terbaca dakwaan Anwar, yang beliau telah mendapat majoriti bilangan Ahli Parlimen yang menyokongnya untuk menubuhkan kerajaan baharu dan menunggu untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat, saya tidak fikir peralihan kuasa akan berlaku.

“Apabila terbaca pula berita baginda masuk Institut Jantung Negara (IJN) kerana kegeringan dan tidak akan menerima sesiapa mengadap, saya fikir tentu akan ada Ahli-ahli Parlimen, terutama sekali yang dikatakan daripada UMNO itu, yang akan undur balik.

“Ini kerana pada masa ini, UMNO nampak semakin kuat. Gandingannya dengan Pas, jika berterusan, disokong oleh tsunami patah balik orang Melayu, akan membolehkan UMNO dan Pas menambah bilangan Ahli-ahli Parlimennya,” katanya memetik tulisan terbaharu beliau hari ini.

Oleh itu, menurut Abdul Hamid, tidak ada sebab Ahli-ahli Parlimen UMNO hendak meninggalkan PN pada masa ini.

Sebaliknya, kata beliau, mungkin mereka disogok, dijanjikan jawatan menteri dan lain-lain atau merasakan kerajaan PN tidak selamat kerana mempunyai majoriti yang sangat nipis serta boleh tumbang bila-bila masa dan menamatkan tempoh mereka menjadi Ahli Parlimen.

Kata beliau, dengan menyokong kerajaan baharu, mereka mengharapkan kerajaan itu akan lebih kuat dan kekal hingga ke akhir penggal, yang bererti mereka dapat menjadi Ahli Parlimen sekurang-kurangnya selama dua tahun lagi.

Katanya, keluar pula kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan ramai Ahli Parlimen parti itu menyokong Anwar dan beliau kononnya, menghormati tindakan mereka dan tidak boleh menghalangnya.

“Kemudian keluar pula senarai 19 Ahli Parlimen UMNO yang dikatakan menyokong Anwar. Kita boleh bahagikan mereka kepada tiga kumpulan. Kumpulan pertama, terdiri daripada Najib, Ahmad Zahid dan pemimpin UMNO lain yang sedang menghadapi pertuduhan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah.

“Kumpulan kedua, terdiri daripada pemimpin UMNO yang pernah menjadi menteri dan Menteri Besar. Kumpulan ketiga, adalah Ahli Parlimen biasa.

“Reaksi spontan saya adalah seperti tidak percaya bahawa mereka sanggup memecahbelahkan UMNO, meninggalkan PN, menyertai Anwar dan bekerjasama dengan DAP,” katanya.

Abdul Hamid turut menyatakan alasan yang mungkin menyebabkan kumpulan itu berbuat demikian, iaitu bagi kumpulan pertama, mungkin telah dijanji atau mengharapkan pertuduhan terhadap mereka akan ditarik balik.

Jelas beliau, jika itu yang dipersetujui antara mereka dengan Anwar atau yang diharapkan, ia sangat mendukacitakan.

Ini, katanya, menunjukkan Presiden PKR yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan bakal Perdana Menteri; bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri; Presiden UMNO dan bekas Timbalan Perdana Menteri; bekas menteri dan Ahli-ahli Parlimen masih tidak faham sempadan bidang kuasa eksekutif serta kebebasan Peguam Negara.

“Mereka seolah berfikir kerajaan boleh mengarahkan Peguam Negara menarik balik pertuduhan atau semua Peguam Negara adalah seperti Tan Sri Tommy Thomas yang menarik balik pertuduhan terhadap Lim Guan Eng, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan penyokong PH.

“Mengenai kumpulan kedua, kemungkinan mengapa mereka menyokong penubuhan kerajaan baharu itu ialah kerana mereka tidak mendapat jawatan dalam kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin, maka mereka mengharapkan sesuatu daripada kerajaan Anwar.

“Begitu juga kumpulan ketiga, mereka mungkin merasa lebih selamat mengikuti presiden parti dan bekas presiden parti serta mengharapkan kerajaan baharu akan dapat bertahan hingga ke akhir penggal dan dapat menjadi Ahli Parlimen hingga ke akhir penggal,” ujarnya.

Kata Abdul Hamid lagi, jika benar kumpulan 19 orang itu menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri, mereka tidak melompat parti.

“Ertinya, mereka tidak keluar dari UMNO. Akibatnya, dalam UMNO akan ada dua kumpulan, satu kumpulan dalam kerajaan dan satu kumpulan lagi sebagai pembangkang. Ini amat pelik dan saya tidak fikir ia pernah berlaku dalam dunia.

“Mungkin Ahmad Zahid dan Najib bercadang untuk menyingkirkan semua Ahli Parlimen UMNO yang tidak mengikut mereka, tetapi, adalah menghairankan mereka sanggup bekerjasama dengan DAP,” katanya.

Menurutnya, kedudukan Anwar pula nampak lebih kuat apabila Guan Eng menyatakan semua Ahli Parlimen DAP menyokongnya dan timbul soalan bagaimana DAP juga boleh bekerjasama dengan UMNO, terutama dengan Najib dan Ahmad Zahid.

“Atau, sanggupkah mereka melupakan permusuhan mereka? Parti Amanah Negara juga menyokong Anwar sepenuhnya. Kali ini nampak seolah Anwar, akhirnya berjaya juga menjadi Perdana Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette