Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon (dua kanan) menunjukan dadah jenis Ketamin yang dirampas pada sidang media kejayaan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) dan Balai Polis Salak Selatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI, 02 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Dua sahabat ditahan polis selepas terlibat dalam pengedaran dadah jenis Ketamin anggaran bernilai RM1.1 juta.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsen Mohamed Zon berkata, kedua-dua suspek berusia 18 dan 28 tahun itu ditahan di tepi jalan sekitar kawasan Kampung Baru Salak Selatan sekitar jam 4.30 petang Rabu lalu.

Katanya, suspek memandu Kembara 1.3EZ  dan seorang rakannya berusia 28 tahun itu cuba melarikan diri sebelum berjaya dicekup.

“Hasil pemeriksaan polis berjaya merampas 43 paket plastik lutsinar besar yang mengandungi dadah disyaki ketamin anggaran 1.9 kilogram dalam but kereta tersebut.

“Nilai rampasan dadah dianggarkan sekitar RM1.1 juta dan dadah itu boleh diedarkan kepada 40 orang penagih,” katanya dalam sidang media kejayaan tersebut di Cheras.

Tambah beliau, suspek pertama 18 tahun itu mempunyai satu rekod lampau dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek kedua mempunyai tujuh rekod jenayah lampau membabitkan dadah termasuk satu rekod curi kereta di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan serta ujian saringan positif ganja dan syabu.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon menunjukan dadah jenis Syabu yang dirampas pada sidang media berkenaan kejayaan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) dan Balai Polis Salak Selatan Baru di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI, 02 OKTOBER 2020.

Menurutnya polis sedang cuba mengenalpasti rangkaian itu termasuk modus operandi, sumber bekalan dan sasaran pembeli di sekitar Lembah Klang.

“Kereta yang digunakan kedua-dua suspek juga sedang disiasat dan pemilik asal kenderaan itu sudah dikenalpasti.

“Kita akan menyiasat hubungan pemilik kereta dengan kedua-dua suspek edar dadah berkenaan,” katanya.

Ujarnya kesemua suspek ditahan reman tujuh hari bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula 1 Oktober hingga 7 Oktober ini untuk melengkapkan siasatan.

Dalam satu operasi berasingan pada hari sama, polis juga berjaya menahan suspek berusia 23 tahun dengan 65 paket syabu seberat 118 gram.

Katanya suspek ditahan anggota peronda pencegahan jenayah bersama kereta Myvi yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek ditahan ketika menunggu di perhentian bas hadapan Lebuhraya Besraya menghala Razak Mension, Cheras.

“Turut dirampas 10 biji eramin 5, satu paket lutsinar disyaki ganja.

“Suspek seorang penganggur dan mempunyai dua rekod lampau dadah dan dadah rampasan dianggarkan RM5,650 dan ujian air kencing dikesan positif ganja.

“Suspek direman tujuh hari sehingga 7 Oktober ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah menyiasat punca bekalan dan modus operandinya bagi melengkapkan kertas siasatan,” tegasnya. – MalaysiaGazette