Rakyat rindukan MN yang dimeterai antara BN dan Pas. MN boleh tadbir kerajaan Persekutuan dengan baik dan seimbang antara dunia dan akhirat.

KUALA LUMPUR – Pas konsisten untuk meneguhkan hubungan parti itu bersama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan rakan pimpinan UMNO untuk meminta supaya diaturkan majlis ulang tahun sambutan Piagam MN.

Piagam MN dimeterai oleh dua presiden parti, iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Abdul Hadi pada 14 September 2019.

“Yang kita bincangkan hari ini, kita nak teguhkan MN dan PN, kita akan minta (perjumpaan dengan UMNO) supaya diaturkan ulang tahun sambutan Piagam MN,” katanya kepada media di Terengganu, hari ini.

Sementara itu, menurut Abdul Hadi, Pas juga akan menangguhkan semua program umum berkuat kuasa serta merta berikutan penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Kata beliau, Pas semua peringkat di seluruh negara telah diarahkan supaya membatalkan mana-mana program yang melibatkan kehadiran orang ramai.

“Kami buat keputusan menangguhkan aktiviti parti kerana rekod positif Covid-19 dalam negara agak membimbangkan. Kita tidak mahu menambahkan lagi beban kerajaan dengan menggalakkan penularan wabak ini.

“Penangguhan ini sehingga kita mendapat pencerahan dari kerajaan yang memantau perkembangan pandemik Covid-19 setiap hari,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pimpinan, ahli, penyokong Pas dan orang ramai mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Ditanya mengenai kerajaan baharu Sabah, Ahli Parlimen Marang itu berkata, tidak ada apa hendak diperkatakan lagi kerana Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah menang. – MalaysiaGazette