Video yang dimuatnaik di Instagram Eyka Farhana.

KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) mengesahkan Johor Darul Ta’zim (JDT) telah membuat permohonan untuk membawa masuk ahli keluarga pemain berskala kecil ketika aksi CIMB Liga Super bertemu Sabah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan memberitahu, kemasukan ahli keluarga pemain berjumlah tidak melebihi 100 orang telah dimaklumkan kepada JDT oleh pengendali Liga Malaysia itu.

Jelas beliau, JDT telah membuat permohonan rasmi kepada MFL untuk membawa masuk ahli keluarga pemain berskala kecil bersempena penyerahan trofi CIMB Liga Super kepada JDT yang mempertahankan kejuaraan liga kali ketujuh berturut-turut selepas menewaskan Sabah 4-1.

“Oleh kerana perlawanan ini merupakan perlawanan yang menentukan juara CIMB Liga Super dan akan diadakan penyerahan piala liga, pihak JDT ada membuat permohonan rasmi dengan MFL untuk membawa sejumlah ahli keluarga pemain untuk memasuki stadium.

“Hasil perbincangan bersama setelah melihat struktur venue dan sambutan kejuaraan, MFL bersetuju untuk membenarkan bilangan ahli keluarga pemain berskala kecil dibawa masuk dengan mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) yang telah ditetapkan seperti pemeriksaan suhu badan di pintu masuk dan penjarakan fizikal di dalam stadium,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani memberitahu kelulusan khas itu diberikan selepas melihat segala aspek pematuhan SOP khusus untuk kumpulan ahli keluarga pemain JDT ini telah dipatuhi sepenuhnya.

“Saya menyangkal di mana terdapat satu gambar tular yang menunjukkan peminat masuk ke stadium beramai-ramai dan itu adalah perkara tidak benar.

“Ini kerana tidak ada mana-mana peminat masuk dan hanya ahli keluarga pemain JDT berskala kecil sahaja berada dalam stadium selain pegawai-pegawai yang bertugas,” katanya.

Malam tadi, tular apabila seorang pengguna Twitter mempersoalkan tindakan pelakon, Eyka Farhana kepada akaun Twitter rasmi, Majlis Keselamatan Negara berhubung video yang dimuat naik pelakon Polis Evo yang seolah-olah berada dalam stadium menonton perlawanan tersebut.

“Salam @MKNJPM bukan ke penyokong tak dibenarkan masuk ke dalam stadium?” soal pengguna Twitter tersebut.

Namun Eyka yang dikatakan bercinta dengan pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid memohon maaf atas keterlanjuran perkongsian video tersebut.

 

1 Komen

Comments are closed.