Muhammad Faisal Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta berunding dengan institut perbankan negara untuk melanjutkan pelaksanaan moratorium selepas kes jangkitan Covid-19 terus meningkat sejak beberapa hari ini.

Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ini kerana rakyat sudah mula bimbang terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Kedah serta Sabah yang menyaksikan kenaikan ketara kes Covid-19.

”Walaupun Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengatakan bahawa bahawa kerajaan tidak bercadang untuk menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pengumuman yang dibuat, namun rakyat tetap bimbang,” katanya.

ABIM melihat kebimbangan ini berasaskan kepada tekanan ekonomi yang dirasai rakyat semasa perlaksanaan PKP lalu.

Antara kesannya ialah ramai rakyat telah hilang pekerjaan akibat lumpuhnya aktiviti ekonomi sepanjang PKP dilaksanakan. Rakyat masih lagi bergelut untuk memulihkan aktiviti mereka.

Sebagai langkah awal menangani keresahan rakyat terbanyak, ABIM menggesa supaya kerajaan berunding dengan pihak bank untuk dilanjutkan semula moratorium pinjaman untuk meredakan keresahan rakyat.

Menerusi pelanjutan moratorium ini, setidak-tidaknya ia akan memberi masa untuk aktiviti ekonomi rakyat dipulihkan semula, di samping sesuai untuk menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang berleluasanya Covid-19 di negara ini.

Tindakan moratorium ini seharusnya dijadikan imbalan kepada teladan serta pengorbanan yang ditunjukkan rakyat yang sedaya upaya mematuhi SOP ditetapkan menerusi PKP walaupun ia memberikan kesan kepada mata pencarian mereka dan aktiviti sosio-ekonomi harian mereka, kata beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sangat Setuju jika dilanjutkan mmg banyak membantu memulihkan ekonomi domestic. Mmg tujuan wabak covid ni nk jatuhkan ekonomi dan masyarakat… Kerajaan kena bijak jaga rakyatnya dari dumanipulasi org2 dan bangsa2 asing yg mengaut riba sebagai keuntungan. Fikir2 kanlah.

Comments are closed.