Salah seorang daripada 32 individu yang ditahan digari ketika dibawa keluar dari Flat PPR Lembah Subang.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seramai 32 orang termasuk empat wanita dalam satu serbuan di Flat PPR Putra Damai, Lembah Subang kerana terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah.

Serbuan dalam Op Sarang Khas itu diadakan antara jam 9.30 malam hari Sabtu hingga 6 pagi keesokan harinya.

Kesemua yang ditahan itu adalah warga tempatan berusia 20 hingga 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam serbuan itu polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk heroin, syabu dan ganja dengan berat sebanyak 549.46 gram.

Menurutnya, nilai rampasan dianggarkan RM21,949.

Pelbagai jenis dadah yang ditahan dalam Op Sarang Khas IPD Petaling Jaya.

Dua suspek yang ditahan dalam serbuan itu dalam proses untuk Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 manakala dua lagi dalam proses siasatan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menunggu laporan patologi.

Mereka disiasat di bawah mengikut kesalahan di bawah Seksyen 16 12(2), 15(1)(a), 39A(1) dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette