KUALA LUMPUR – Seramai 979 individu ditahan dalam Operasi Pemantauan semalam, atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selepas disoal siasat, 944 individu telah dikenakan kompaun, 32 direman dan tiga lagi dijamin.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan mereka termasuk penjarakan fizikal seramai 516 individu, gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri (277) dan tidak memakai pelitup muka (163).
Selebihnya, kata beliau, premis beroperasi lebih masa seramai 10 individu, aktiviti dalam pub dan kelab malam (tujuh), premis beroperasi tanpa lesen (dua orang), langgar perintah kuarantin (dua), enggan membuat saringan Covid-19 (1) dan keluar kawasan PKPDB tanpa kebenaran (seorang).
Semalam juga, menerusi Operasi Benteng, pasukan keselamatan berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 48 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bersama dua tekong dan empat penyeludup.

“Turut dirampas ialah tujuh kenderaan darat yang digunakan tekong dan penyeludup untuk membawa masuk PATI secara haram menerusi lorong tikus,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Mengenai Ops Sanitasi Awam, Ismail Sabri berkata, sejak 30 Mac lalu, sebanyak 10,172 operasi sanitasi merangkumi 135 zon telah dilakukan.
Katanya, 13,073 premis telah disanitasi melibatkan 2,716 pusat perniagaan, 1,601 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,624 tempat awam, 354 pasar raya, dan 5,778 bangunan kerajaan.
Semalam, menurut beliau, sebanyak 13 operasi sanitasi meliputi masing-masing dua Zon Merah dan Zon Kuning serta enam Zon Hijau di lima negeri, antaranya Kedah (empat operasi), Pulau Pinang (empat), Sabah (tiga), Sarawak (satu) dan Terengganu (satu).
“Operasi sanitasi ini melibatkan 35 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan enam jentera dan 176 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya. – MalaysiaGazette
















