Tiga lagi daerah kena PKPB berkuat kuasa tengah malam esok ialah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

KUALA LUMPUR – Tiga lagi daerah di Sabah akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai tengah malam esok berikutan situasi pandemik Covid-19 yang membimbangkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketiga-tiga daerah itu ialah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan yang akan dilaksanakan PKPB berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam 7 Oktober ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini, yang mendengar situasi semasa Covid-19 di seluruh Sabah oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta cadangan dari kerajaan negeri.

“Kerajaan Pusat akan terus berbincang dengan kerajaan Sabah untuk memantau situasi di seluruh daerah dan akan mendapatkan nasihat KKM dari semasa ke semasa sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Ismail Sabri berkata, berikutan pelaksanaan itu, segala pergerakan keluar masuk di tiga kawasan PKPB berkenaan tidak dibenarkan sama sekali.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, hanya perkhidmatan perlu (Essential Service) termasuk kilang dan rantaian berkaitan dalam perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan.

Kata beliau, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) akan menyenaraikan jenis perkhidmatan perlu yang terlibat di kawasan tersebut.

Jelasnya, pelaksanaan PKPB itu bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam kawasan tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.

“Antara SOP ditetapkan ialah kemasukan ke Sabah tidak dibenarkan, kecuali bagi warganegara berasal dari Sabah, pemegang pas yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Sabah yang berada di Semenanjung, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan pasangan yang menjalankan Perkhidmatan Perlu.

“Selain kategori itu, mereka juga diwajibkan mendapatkan kebenaran khas dari kerajaan Sabah,” katanya.

Menurut Ismail Sabri lagi, hanya dua orang dari sebuah rumah dibenarkan keluar bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan atau keperluan rumah.

Katanya, Perniagaan Bukan Perkhidmatan Perlu (Non Essential Service) hendaklah ditutup, manakala restoran, kedai makan, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara jam 6 pagi hingga 6 petang.

Begitu juga pembelian makanan hanya menggunakan kaedah pandu lalu, penghantaran dan take-away sahaja dan waktu operasi stesen minyak hanya dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 6 petang,” katanya.

Ismail Sabri Yaakob

Berikut adalah SOP sepanjang PKPB di tiga daerah itu;

* Operasi pasar harian antara jam 6 pagi hingga 2petang, pperasi pasar malam, tamu, pasar borong dan pasar tani tidak dibenarkan.

* Waktu operasi klinik dan hospital kerajaan dan swasta dibenarkan secara 24 jam, manakala farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan beroperasi mulai jam 6 pagi hingga 6 petang.

* Aktiviti dan perkhidmatan di semua lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi, tetapi pergerakan petugas atau penumpang perlu mendapatkan kelulusan polis terlebih dahulu.

* Kenderaan yang membawa barangan keperluan (essential) dibenarkan keluar masuk dengan mendapatkan kebenaran polis, manakala perkhidmatan teksi atau e-hailing dengan maksimum dua penumpang dan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

* Perkhidmatan bas ekspres dan bas henti-henti tidak dibenarkan beroperasi.

* Bagi kes kecemasan adalah dibenarkan, tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak berkuasa.

* Penduduk yang bekerja tidak dibenarkan keluar dari kawasan dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPB.

* Majikan hendaklah mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja bercuti atau bekerja dari rumah.

* Kebenaran untuk bekerja hanya bagi Perkhidmatan Perlu (essential service) dengan kelulusan polis.

* Masjid, surau, rumah ibadat bukan Islam, institut pengajian tinggi awam dan swasta, Institut Latihan Kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz, pusat jagaan kanak-kanak.

* Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya juga tidak dibenarkan.

* Polis bertanggungjawab melaksanakan kawalan ke atas kawasan tempatan jangkitan dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Ikatan Relawan Malaysia (Rela).

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Bencana Negeri Sabah di talian 088-369434. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast