Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah bercakap pada sidang media Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) berkenaan isu penjualan makanan dan minuman dari pihak koperasi dan guru sekolah di Cheras Central, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Susulan penyalahgunaan kuasa oleh koperasi dan guru yang menjual makanan dan minuman di dalam kawasan sekolah, satu laporan polis akan dibuat oleh 10,000 pengusaha kantin di seluruh negara.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, ia bagi mengelakkan pengusaha kantin dikenakan tindakan sekiranya berlaku keracunan makanan akibat makanan yang dijual oleh pihak ketiga itu.

“Saya harap dalam isu ini Ikhlas akan bekerjasama dengan pengusaha kantin ini sekiranya Kementerian Pendidikan Malaysia (KWP) masih tak jawab memorandum yang sebelum ini.

“Kita akan buat laporan polis untuk lindungi diri untuk pengusaha kantin ini di mana apabila berlaku keracunan makanan, siapa nak bertanggungjawab.

“Adakah guru yang berniaga ini nak bertanggungjawab? Sudah tentu mereka akan cuci tangan.

“Isu ini akan jadi isu besar dan menyusahkan kerajaan nanti. Banyak pihak akan salahkan pengusaha kantin dan kerajaan terutama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya pada sidang media, hari ini.

Mohd Ridzuan juga mempersoalkan tindakan guru yang berniaga makanan kepada pelajar-pelajar di dalam kawasan sekolah sedangkan mereka perlu fokus kepada pengajaran.

“Kita lihat hari ini guru-guru pun sudah mula berniaga, sepatutnya sebagai penjawat awam tak boleh berniaga.

“Kalau kita nak jadi pengusaha kantin, kita perlu mengambil suntikan tifod daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), perlu ada sijil dan sebagainya.

“Kalau isu ini masih tidak selesai, kita akan minta semua pengusaha kantin seluruh Malaysia buat aduan kepada persatuan kita,” katanya.

Tambahnya, KPM juga perlu mengkaji semula polisi membenarkan guru dan koperasi menjual makanan dan minuman sedangkan hak itu telah diserahkan kepada pengusaha kantin sekolah.

“Bab makan ini amat serius, sudahlah musim Covid-19. Jadi tanggungjawab guru, mereka perlu fokus kepada pendidikan, jangan pula nak berniaga.

“KPM juga perlu kaji kenapa guru perlu berniaga, hutang banyak ker…perlu kenaikan gaji? Jadi jangan menyusahkan pengusaha kantin.

“Kalau guru bangun pukul 3 atau 4 pagi macam mana mereka nak fokus pendidikan di sekolah sewaktu mengajar, jadi serba sedikit akan mengganggu tahap pendidikan di sekolah,” katanya.

Katanya lagi, tindakan guru berniaga di dalam kawasan sekolah adalah penyalahgunaan kuasa sebagai penjawat awam dan ia perlu dipandang serius KPM.

“Ini betul-betul salah, seorang penjawat awam sudah salahguna kuasa, mereka pun nak berniaga walaupun hak pengusaha kantin tetap ada.

“Dalam isu ini ibu bapa pun kena pandang serius, pastikan anak-anak mereka beli makanan daripada pengusaha kantin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette