KUALA LUMPUR – Halal Development Corporation (HDC) tidak mengambil alih peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam pengeluaran pensijilan halal.

Pengerusi HDC, Datuk Mahmud Abbas berkata, HDC hanya terlibat sebagai jawatankuasa bersama dalam Majlis Halal Malaysia untuk pembangunan industri halal negara.

“Tanggungjawab JAKIM jelas, ia mengeluarkan pensijilan halal. Mereka harus mengenal pasti produk dan memastikan bahawa produk di pasaran mendapat pensijilan halal. HDC tidak akan mengeluarkan pensijilan halal kerana ia bukan peranan kami,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Halal Sedunia 2020 ke-12 anjuran HDC di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari.

Mahmud berkata, HDC dan JAKIM bekerjasama erat sebagai satu badan untuk meningkatkan industri halal negara.

HDC sebagai sekretariat Majlis Halal Malaysia, bekerjasama dengan pelbagai kementerian berkaitan pembangunan halal untuk memastikan bahawa industri halal memberi sumbangan besar terhadap pembangunan sosio-ekonomi, seiring dengan aspirasi kerajaan.

Pengeluaran pensijilan halal menjadi isu ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, ia membawa kepada keputusan Kabinet bahawa HDC hanya akan terlibat sebagai jawatankuasa bersama dan menumpukan perhatian  kepada pembangunan industri halal daripada mengambil alih peranan JAKIM dalam pengeluaran pensijilan dan perkara-perkara lain yang berkaitan. – MalaysiaGazette