Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berpendapat tempoh kuarantin yang ada sebagai peluang bagi beliau bermuhasabah dan meneliti penambahbaikan sedia ada.

Beliau yang kini menjalani rawatan selepas disahkan positif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam turut memohon maaf sekali lagi apa yang berlaku.

“Tempoh masa yang dikurniakan Allah SWT pada ketika ini memberi peluang untuk saya bermuhasabah dan meneliti ruang penambahbaikan masa mendatang.

Sementara itu, Zulkifli turut memuat naik kad laporan pada Ogos bagi agensi di bawah portfolionya.

Menurutnya, setiap sen yang dibelanjakan bagi sebarang bentuk urusan terkait tadbir urus Islam di peringkat Persekutuan adalah amanah daripada rakyat.

“Jadual saya pada bulan Ogos kebanyakannya tertumpu di Parlimen. Pun begitu, Alhamdulillah agensi di bawah saya amat memahami dan tetap menggerakkan program masing-masing dengan penuh komited.

“Saya berharap Kad Laporan Bulanan ini dapat memberi gambaran secara umum tentang apa kami laksanakan setiap bulan terutamanya dengan fokus kepada pandemik Covid-19 pada masa ini. Semoga Allah SWT terus memayungi Malaysia dengan rahmat dan kasih sayang-Nya,” katanya.

Beliau turut menyarankan orang ramai merujuk laman rasmi setiap agensi di bawahnya untuk mendapatkan maklumat lanjut. – MalaysiaGazette