Chong Sin Woon.

KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan meneliti cadangan untuk memperkenalkan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separa bagi melandaikan lekungan gelombang ketiga jangkitan Covid-19.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, ini kerana PKP sepenuhnya tidak sesuai dilaksanakan ketika kerajaan berusaha melindungi pertumbuhan ekonomi, kebajikan dan taraf kehidupan rakyatnya.

“Tetapi langkah-langkah utama untuk melandaikan lekungan jangkitan kes Covid-19 ini boleh dimulakan semula sehingga vaksin untuk pandemik maut itu dapat dibangunkan dengan jayanya selamat digunakan.

“Beberapa langkah diutarakan di sini untuk pertimbangan Majlis Keselamatan Negara selepas ini antaranya mewajibkan individu yang tiba ke Semenanjung dan juga negara lain dari Sabah atau kawasan lain berisiko tinggi menjalani kuarantin mandatori di pusat kuarantin dan bukannya di rumah mereka.

“Melarang rakyat daripada meneruskan perjalanan antara negeri kecuali untuk keperluan dan sebarang perjalanan rentasi negeri perlu dilarang sama sekali kecuali seseorang individu itu memohon dan memiliki kebenaran Polis Diraja Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut meminta kerajaan menghadkan perhimpunanĀ kepada 50 orang pada satu-satu masa untuk mengurangkan risiko jangkitan secara berkumpulan.

Selain itu, Sin Woon mencadangkan supaya kerajaan menggalakkan sektor awam dan swasta membenarkan kakitangan mereka bekerja dari rumah. – MalaysiaGazette