Petugas Sel Care melakukan ujian saringan Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 04 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Keadaan cuaca dan suhu Malaysia yang lebih stabil menyebabkan faktor iklim tidak memberi kesan besar kepada penularan COVID-19.

Situasi itu juga membezakan Malaysia daripada negara-negara bermusim yang menyaksikan peningkatan kes jangkitan pada musim tertentu dan ia juga bermakna trend jangkitan di Malaysia lebih sukar dijangka.

Orang ramai bagaimanapun harus berwaspada pada akhir tahun kerana jangkitan influenza dan Rhinovirus (yang menyebabkan selesema) biasanya menunjukkan peningkatan dari Oktober hingga Januari di negara-negara tropika.

Pensyarah Kanan Jabatan Perubatan Mikrobiologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Tee Kok Keng berkata, di negara-negara bermusim, orang ramai biasanya menghabiskan lebih banyak masa dalam premis dan keadaan ini memudahkan jangkitan berlaku.

Beliau juga menjangkakan bahawa kes COVID-19 akan meningkat di negara-negara tertentu pada musim luruh dan musim sejuk.

“Keadaan jangkitan di negara-negara tropika bagaimanapun tidak akan mengikut trend di negara-negara bermusim dan keadaannya sukar dijangkakan.

“Walaupun penyelidikan yang dijalankan pasukan kami mendapati jangkitan influenza dan Rhinovirus meningkat dari Oktober hingga Januari, tetapi penyakit pernafasan lain pula tidak menunjukkan peningkatan yang ketara,” katanya kepada China Press.

Kok Keng menjelaskan, setiap virus mempunyai sifat berbeza, khususnya di kawasan beriklim tropika.

“Walaupun ini merupakan ‘musim sejuk’ pertama kami bersama COVID-19, tetapi faktor iklim mungkin tidak signifikan.

“Ini kerana cuaca Malaysia adalah sangat stabil sepanjang tahun, oleh itu tidak boleh dibandingkan dengan negara bermusim,” katanya.

Mengenai faktor kelembapan pula, Kok Keng berkata, walaupun ia boleh mendorong penularan penyakit saluran pernafasan, tetapi penyelidikan lebih banyak harus dilakukan untuk menjelaskan hubungannya dengan musim.

Katanya, Rhinovirus adalah lebih stabil dan senang hidup dalam tempat dengan kelembapan tinggi. – MalaysiaGazette