KOTA KINABALU – Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Sabah, Dr Aliakbar Gulasan tersenarai dalam enam nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di Sabah.

Pelantikan itu dikongsi oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Sarawak, Muhtar Suhaili dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

“Alhamdulillah. Tahniah buat sahabat saya YB Dr. Aliakbar Gulasan yang dijadualkan menerima Watikah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Dilantik) daripada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri Kota Kinabalu pagi ini,” katanya.

Dr. Aliakbar, 49, berkelulusan Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial (Kepujian)  dari Universiti Malaya (UM) dan Sarjana Pengurusan Alam Sekitar serta Doktor Falsafah Geografi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau merupakan mantan Pensyarah Kanan di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan diamanahkan sebagai Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM).

“Saya kenali beliau sebagai seorang yang tenang dan sangat tersusun dalam bekerja. Beliau banyak berperanan dalam menggerakkan Pas Sabah selain bersama-sama Pas Sarawak merencana agenda siyasah (politik), dakwah dan tarbiyah di Bumi Borneo,” katanya. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Ramai yakin wakil PAS Dr Aliakbar Gulasan dapat memberikan buah fikiran, kepakaran profesional dan bakat kepimpinan yang terbaik buat rakyat Sabah.

    Tahniah diatas perlantikan!

Comments are closed.