Zairil Khir Johari
Zairil Khir Johari.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang masih belum memutuskan untuk melaksanakan pembinaan terowong dasar laut dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Zairil Khir Johari berkata projek Terowong Dasar Laut merupakan satu daripada komponen kerja di bawah Projek Jalan-jalan Utama dan Terowong Dasar Laut di Pulau Pinang yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi, Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC).

“Pertimbangan akan dibuat selepas hasil laporan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut dimuktamadkan oleh pihak CZC,” katanya ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Yusni Mat Piah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau berkata pihak CZC dijangka memuktamadkan laporan kajian kebolehlaksanaan tersebut dalam suku keempat tahun 2020.

“Sekiranya kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan projek terowong dasar laut berdasarkan hasil laporan kajian kebolehlaksanaan, laporan kajian impak alam sekitar (EIA) akan disediakan untuk penilaian dan kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.

Menurut Zairil pihak CZC telah mengemukakan draf laporan kajian kebolehlaksanaan Projek Terowong Dasar Laut pada 6 Sept 2019 kepada kerajaan negeri setelah diteliti oleh pihak jurutera perunding bebas yang dilantik kerajaan negeri.

“Drat laporan tersebut kini sedang ditambah baik berdasarkan ulasan yang diterima oleh pelbagai pihak berkepentingan dan sedang dipantau oleh Jawatankuasa Kerja Teknikal Kerajaan Negeri dalam beberapa siri mesyuarat sejak bulan November 2019,” katanya.

Projek terowong sepanjang 7.2km itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai itu adalah di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

— BERNAMA