Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan cukup komited dalam membantu memastikan industri sukan dan pada masa yang sama memastikan matlamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berjaya sepertimana di rancang kerajaan.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau cukup prihatin dan memahami keresahan pemain industri sukan yang terkesan akibat arahan terkini pihak Kerajaan ekoran penguatkuasaan PKPB khususnya di Selangor, Kuala Lumpur dan
Putrajaya.

Beliau menegaskan larangan aktiviti sukan dalam dewan (indoor) ini hanyalah bersifat sementara.

“Walau bagaimanapun, pihak Kerajaan telah membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak melibatkan kontak fizikal boleh dijalankan secara individu dan di tempat terbuka terhad kepada maksimum 10 orang pada satu-satu masa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, langkah-langkah larangan aktiviti sukan kontak dan sukan berpasukan seperti bola sepak, futsal dan lain-lain sukan yang dimainkan di dalam dewan tertutup (indoor) di kawasan PKPB perlu dilaksanakan atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Ahli Parlimen Kepala Batas itu, ia adalah atas dasar kesihatan dan kepentingan awam buat sementara waktu untuk kita sama-sama membantu negara bagi memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 ini.

“Insya Allah, selaku Menteri Belia dan Sukan, saya memberi jaminan bahawa Kementerian Belia dan Sukan komited dalam usaha membantu industri sukan dengan kerjasama dan panduan MKN dan KKM.

“Ini penting agar aktiviti sukan dan rekreasi dapat dibuka semula seperti mana di dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebaik sahaja berakhirnya tempoh PKPB nanti,” tegas beliau.-MalaysiaGazette