Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor memutuskan untuk menggunapakai keseluruhan Tatacara Operasi Piawai (SOP) seperti yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), termasuk di Mukim Klang yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 14 hingga 27 Oktober ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan PKPB hari ini yang dihadiri Datuk Bandar/Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Pegawai-pegawai Daerah, pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan pegawai MKN Selangor.

“Setelah meneliti pandangan semua pihak, Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk menggunapakai keseluruhan SOP seperti yang digariskan oleh MKN di seluruh Selangor, termasuk di Mukim Klang.

“Sehubungan dengan itu, SOP khusus untuk PKPB di Mukim Klang yang telah dimaklumkan terlebih dahulu secara automatik terbatal dan akan mengikut SOP MKN yang diwartakan secara rasmi pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, melalui perbincangan sama, kerajaan negeri bersetuju memperincikan beberapa perkara yang tidak disebutkan dalam SOP iaitu membenarkan operasi aktiviti pasar pagi tetapi tertakluk kepada SOP yang sama seperti pasar malam.

“Penggunaan taman permainan (playground) dan peralatan senaman di taman awam tidak dibenarkan sama sekali.

“Justeru, upacara pendaftaran perkahwinan bukan Muslim dibenarkan tetapi tidak melebihi enam orang pada satu-satu masa,” katanya. – MalaysiaGazette