Mayat pesakit Covid-19 sedang diuruskan di bilik mayat Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

ZURICH – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa lonjakan kes jangkitan Covid-19 akan menyebabkan angka korban terus bertambah.

Kes baharu mencecah 100,000 orang setiap hari di Eropah.

Hampir 20,000 jangkitan dilaporkan di Britain, sementara Itali, Switzerland dan Rusia adalah antara negara merekodkan jumlah kes.

Walaupun kematian di seluruh dunia menurun kepada sekitar 5,000 sehari berbanding waktu kemuncak pada bulan April lalu melebihi 7,500, Ketua Saintis WHO Soumya Swaminathan berkata, jumlah beban meningkat di unit rawatan rapi.

“Peningkatan kematian berlaku daripada peningkatan kes beberapa minggu ini,” kata Swaminathan semasa acara media sosial WHO.

Oleh itu, semua pihak tidak seharusnya berpuas hati dengan penurunan angka kematian.

Lebih 38 juta penduduk dunia kini sudah dijangkiti dengan wabak koronavirus dan daripada jumlah itu angka kematian membabitkan sejuta orang.

Walaupun global sedang menghasilkan vaksin Covid-19, namun Swaminathan tidak yakin ia dapat digunakan dalam waktu terdekat ini.

Dua syarikat ubat-ubatan yang sedang menjalankan percubaan, Johnson & Johnson dan AstraZeneca terpaksa berhenti sementara atas sebab-sebab keselamatan.

Namun, katanya, penghasilan berbilion dos vaksin yang berjaya akhirnya akan menjadi cabaran besar untuk menentu pihak mana yang akan diberikan keutamaan untuk menggunakan vaksin berkenaan.

“Sebilangan besar bersetuju, penggunaan vaksin perlu diberikan kepada kakitangan penjagaan kesihatan, pekerja di barisan hadapan, tetapi masih perlu ditentukan pihak mana yang berisiko tinggi, kemudian warga emas dan seterusnya.

“Golongan muda yang sihat mungkin perlu menunggu sehingga tahun 2022,” kata Swaminathan.

WHO berkata, membiarkan jangkitan merebak dengan harapan ia akan mencapai “kekebalan kawanan” adalah tidak beretika dan akan menyebabkan kematian yang tidak sepatutnya.

“Banyak pihak bercakap mengenai kekebalan kawanan. Sepatutnya kita hanya bercakap dalam konteks vaksin.

“Kita perlu memberi vaksin sekurang-kurangnya kepada 70% orang untuk betul-betul membendung penularan,” katanya.

Sehubungan itu, Swaminathan menggesa orang ramai terus mengamalkan mencuci tangan, melakukan penjarakkan sosial, memakai pelitup muka serta laksanakan pergerakan terhad dalam usaha menghentikan penularan wabak ini.- MalaysiaGazette