Emmanuel Macron . foto Reuters

PARIS – Presiden Perancis Emmanuel Macron mengumumkan perintah berkurung pada waktu malam di Paris dan lapan bandar lain dalam usaha mengekang penyebaran koronavirus.

Arahan itu berkuatkuasa mulai jam 9 malam hingga 6 pagi, bermula hari Sabtu, sekurang-kurangnya selama empat minggu.

Semasa membuat pengumuman menerusi televisyen, Macron berkata, kecemasan kesihatan awam turut diisytiharkan.

Sementara itu Jerman pula mengarahkan semua bar dan restoran di kawasan berisiko tinggi ditutup lebih awal.

Canselor Angela Merkel mengumumkan kawalan pergerakan yang ketat pada hari Rabu kerana negara itu mencatatkan lebih daripada 5,000 jangkitan baru untuk pertama kalinya sejak April.

Di kawasan yang merekodkan jangkitan melebihi 50 bagi setiap 1,000 penduduk, bar dan restoran mesti ditutup pada jam 11 malam.

Manakala perhimpunan peribadi terhad kepada 10 orang daripada dua isi rumah.

Di seluruh Eropah, kerajaan-kerajaan telah memperkenalkan sekatan baru untuk memerangi gelombang kedua Covid-19.

Penutupan sebahagian telah berkuatkuasa di Belanda, yang turut menyaksikan kafe dan restoran ditutup.

Wilayah Catalonia telah mengarahkan bar dan restoran ditutup selama 15 hari mulai hari Khamis.

Republik Czech pula menutup sekolah dan bar selepas merekodkan kadar jangkatan tertinggi di Eropah dalam tempoh dua minggu lalu dengan kadar 581.3 kes bagi setiap 100,000 penduduk. – MalaysiaGazette