Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bersetuju untuk melaksanakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan, Labuan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penguatkuasaan PKPB selama 14 hari bagi kawasan itu bermula jam 12.01 tengah malam 17 Oktober ini hingga 30 Oktober 2020.

Kata beliau, pelaksanaan PKPB itu berikutan peningkatan kes positif Covid-19 dikesan di Labuan.

“Bagi PKPB di daerah ini, semua sektor aktiviti berkaitan ekonomi termasuk industri dan perkilangan dibenarkan, tetapi dengan prosedur standard operasi (SOP) yang ketat dari kerajaan.

“SOPnya sama seperti PKPB di daerah dan negeri lain, iaitu hanya dua orang dari satu rumah boleh keluar untuk mendptkan barangan keperluan, manakala individu berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan warga emas tidak digalakkan keluar.

“Kenderaan yang membawa pekerja pula dibenarkan beroperasi berdasarkan SOP ditetapkan, tetapi untuk rentas negeri tidak dibenarkan, kecuali untuk kes kecemasan sahaja. Itupun mereka perlu kemukakan surat kepada polis,” katanya pada sidang media khas mengenai Covid-19 yang diadakan secara atas talian hari ini.

Menurut Ismail Sabri lagi, memandangkan Labuan sebuah pulau dan tidak mempunyai daerah, maka tentu sahaja menyaksikan aktiviti pergerakan air yang banyak dan aktif.

Oleh itu, katanya, mesyuarat khas MKN bersetujua bahawa perkhidmatan pengangkutan air seperti feri dan bot laju dibenarkan beroperasi sehingga jam 6 petang sahaja.

Bagaimanapun, ujar beliau, aktiviti kapal kecil dari negara luar ke Labuan untuk perdagangan barter tidak dibenarkan.

“Namun, lapangan terbang Antarabangsa Labuan dibuka seperti biasa dan pekerja berulang alik ke tempat kerja tidak perlukan pass kerana Labuan adalah sebuah pulau, yang tidak ada daerah.

“Bagi pengangkutan teksi air dan penambang juga dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 6 petang, manakala industri perkapalan besar di Labuan boleh berurusan seperti biasa, tetapi mengikut SOP dikeluarkan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast