Nik Saiful Adli Burhan

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan kerajaan menggunakan peruntukan Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) atau Seksyen 304 (a) bagi kes kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh dadah.

Exco Pemuda yang juga Pengerusi Sekretariat Peguam Muda, Pemuda UMNO Malaysia, Nik Saiful Adli Burhan berkata, walaupun kedengaran ekstrim namun itulah cara meredakan keresahan rakyat dalam kes kemalangan yang membabitkan kematian orang lain.

Katanya, dalam kes seorang pemandu wanita, Nur Fatin Nazrah Suhaimi yang memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri di Kota Tinggi, Johor Bahru Sabtu lalu, ia sepatutnya dituduh bawah salah satu daripada seksyen itu.

“Cadangan Pemuda UMNO, kes begini sepatutnya dituduh bawah peruntukan Seksyen 302 KK sebagaimana kes pembunuhan atau sekurang-kurangnya Seksyen 304 (a) KK kerana membunuh tanpa niat yang memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun.

“Tetapi, Nur Fatin hanya dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Nik Saiful Adli, selepas hukuman itu dijatuhkan, rata-rata netizen di media sosial mengkritik sistem perundangan dan kedudukan undang-undang negara ini dalam mengadili kes seumpama itu.

Kata beliau, Sekretariat Peguam Muda Pemuda UMNO Malaysia terpanggil untuk mengulas mengenai kedudukan undang-undang sedia ada di negara ini serta berasa bertanggungjawab untuk mencadangkan kepada kerajaan beberapa perkara berdasarkan pandangan awam selepas mengambilkira kepentingan awam dan keperluan undang-undang pada masa ini.

Jelasnya, Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 meskipun dilihat cukup tinggi.

“Namun, ianya tidak menghalang pemandu yang “tiada akal yang waras” semasa memandu termasuk di bawah pengaruh alkohol, mahupun dadah.

“Tambahan pula, kes kemalangan maut akibat pengaruh dadah dan alkohol bukan kes terpencil di negara ini. Selagi tiada pindaan undang-undang serta langkah pencegahan oleh kerajaan, rakyat tidak akan merasa tenang dan selamat di atas jalan raya,” katanya.

Beliau menjelaskan, sejak Mei lagi, Pergerakan Pemuda UMNO telah menggesa kerajaan bertindak dalam hal itu.

Umpamanya, pada 27 Mei lalu, saranan ketua mereka, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kepada Menteri Pengangkutan agar menyegerakan pindaan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk termasuk menggantung lesen seumur hidup.

Malah, kerajaan hari ini amat diharapkan untuk melihat saranan itu secara serius sebagai menghormati pandangan rakyat yang dibawa oleh Pemuda UMNO, kerana hal sedemikian bukan semata-mata cakap kosong ahli politik hendak menjadi hero rakyat.

“Isu kedua terpenting yang menjadi keluhan rakyat apabila mereka membincangkan nasib keluarga mangsa yang tidak akan mampu mendapat pampasan selepas kematian ahli keluarga apabila kenderaan tertuduh tiada perlindungan insurans.

“Amat menyedihkan apabila balu dan anak mangsa tidak boleh menerima pampasan daripada insurans apabila kesilapan adalah dari pihak tertuduh sendiri yang gagal memastikan kenderaan dipandu dilindungi insurans.

“Saya mencadangkan kerajaan memperkenalkan skim insurans pihak ketiga yang wajib pada suatu jumlah minima tertentu bersekali dengan cukai jualan kenderaan. Dengan cara ini, semua kenderaan akan dilindungi insurans pihak ketiga secara automatik,” katanya.

Kata beliau, menerusi cadangan itu, hanya pemilik kenderaan yang mampu boleh menaiktaraf insurans kepada jenis komprehensif sebagaimana kebanyakan kenderaan baru hari ini.

Perlu diingat, kepentingan insurans pihak ketiga ini bukanlah kepada pemandu dan pemilik kenderaan, tetapi kepada orang awam yang bakal menjadi mangsa kemalangan.

Kata beliau, sudah tiba masanya peruntukan undang-undang sedia ada mengenai insuran kenderaan ini dikaji semula dengan meletakkan keutamaan kepada rakyat awam melebihi kepentingan syarikat dan keuntungan kewangan semata-mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast