Produk kesihatan yang didakwa mengandungi bahan sildenafil dan tadalafil.
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas beberapa produk kesihatan yang tidak berdaftar serta makanan yang disyaki dicampur dengan racun berjadual.
Makanan yang dirampas adalah dalam bentuk gula-gula dan minuman yang disyaki mengandungi racun perangsang seks seperti sildenafil dan tadalafil.
Rampasan itu hasil risikan terancang yang dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) hingga membawa kepada serbuan di dua premis kediaman dan tiga premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur.
Nilai rampasan produk-produk kesihatan dianggarkan bernilai RM533,974.
Antara produk tidak berdaftar dan makanan yang disyaki mengandungi racun yang dirampas adalah Candy B, Catuaba, Hammer Ginseng & Coffee, Xtreme Candy, Soloco, Vimax, Maxman Crème dan AK-11 Phenomenal King.
KKM berkata, perbuatan memiliki atau menjual produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia merupakan pelanggaran di bawah Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Siasatan lanjut ke atas semua premis akan diteruskan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952.
Penjualan racun berjadual tanpa lesen yang sah boleh disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Racun 1952 dan jika didapati bersalah boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.
Sildenafil dan Tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan dalam merawat pesakit yang mengalami masalah mati pucuk.
Ubat ini hanya boleh diberikan kepada pesakit di bawah pemantauan ahli profesional kesihatan berdaftar.
Penyalahgunaan ubat terkawal ini tanpa pengawasan boleh menyebabkan komplikasi pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang berbahaya dan kesan terhadap system kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast