Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO akan diadakan di Pahang, Selasa ini bagi membincangkan pelbagai isu politik semasa terutamanya keputusan Biro Politik parti itu yang melahirkan pertimbangan mahu menarik dari daripada terus menyokong Perikatan Nasional dan menetapkan syarat-syarat baharu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat MT sepatutnya diadakan esok namun terpaksa ditangguhkan kerana kalangan anggota MT berpendapat lebih baik diadakan pertemuan secara bersemuka.

Katanya, selain itu majoriti anggota MT mempunyai komitmen di kawasan masing-masing pada Sabtu dan Pahang dipilih kerana negeri tersebut tidak terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kita akan membincangkan pelbagai perkara, dan saya akan membawa keputusan mesyuarat Biro Politik Selasa lalu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Selasa ini untuk dibincang dan diputuskan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, Ahmad MaslanĀ  yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, keputusan Biro Politik untuk mendaftarkan Muafakat Nasional (MN) sebagai parti politik pula akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MN malam Isnin ini.

Selasa lalu, Biro Politik UMNO yang bermesyuarat di PWTC berkata, UMNO akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu MN agar gabungan itu didaftar segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah. – MalaysiaGazette