My Team Ipoh menjuarai Piala Akademi Wira Muda Bawah 8 Tahun yang berlangsung di Institut Latihan Kecemerlangan MARA di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL – Sebanyak 16 pasukan menyertai kejohanan Piala Akademi Wira Muda Bawah 8 Tahun yang berlangsung di Institut Latihan Kecemerlangan Mara di Jawi selama sehari pada hari ini.

Kejohanan yang julung kali diadakan itu anjuran Akademi Wira Muda dengan kerjasama syarikat minuman kultur, Yakult.

Pengasas akademi tersebut, Shaik Awish Alkirani Shaik Haronarashib berkata, kejohanan itu diadakan bertujuan mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama antara akademi bola sepak lain di Pulau Pinang.

“Pada masa sama, kami juga memastikan program pembangunan bola sepak akar umbi itu bermula sejak usia awal lagi bagi memastikan akademi ini mampu menyediakan pelapis berpotensi besar.

“Ia bertepatan dengan matlamat Akademi Bola Sepak Wira Muda sebagai platform mencungkil bakat pemain bola sepak yang mampu mewakili Pulau Pinang dan negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya di sini.

Shaik Awish Alkirani Shaik Haronarashib (kanan) bersama pasukan Akademi Wira Muda.

Kejohanan yang turut dihadiri Pengarah Institut Pusat Latihan Kecemerlangan MARA, Syed Saifuddin Syed Ahmad menyaksikan My Team Ipoh muncul juara selepas menewaskan Akademi Wira Muda menerusi sepakan penalti 3-2.

Juara membawa pulang wang tunai RM600, piala dan medal manakala naib johan berpuas hati dengan wang tunai RM400, piala dan medal.

Tempat ketiga dan keempat dimenangi oleh Akademi KSK dan Helang Manjung.

Sementara itu, Syed Saifuddin turut memuji penganjuran kejohanan itu yang mampu menyemarakkan semangat bersukan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di daerah terbabit selain dapat mencungkil bakat baharu dalam sukan berkenaan.

Jelas beliau, inisiatif penganjuran kejohanan terbabit juga diharap dapat bagi menyediakan platform dalam membentuk persekitaran sihat menerusi kegiatan bersukan.

Sementara itu, Akademi Wira Muda yang ditubuhkan pada Oktober 2018 hanya memiliki jumlah pelatih hanya 80 orang namun ia bertambah secara mendadak melebihi 200 orang sehingga kini.

Pelatih yang dipilih dibahagikan kepada empat peringkat umur iaitu bawah lapan tahun, 10 tahun, 12 tahun dan 15 tahun.

Mereka yang terpilih menyertai akademi ini dibekalkan dengan jersi khas dan kelengkapan peralatan sukan lain terkini

“Pemain akademi ini akan berlatih selama empat jam seminggu dan diberi bimbingan sepenuhnya oleh jurulatih professional selain mereka didedahkan dengan klinik video bola sepak dari peringkat awal untuk menjadi pemain professional.

Akademi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sukan dan di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang turut mendapat sokongan penuh Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman sebagai tanda prihatin dengan menyalurkan peruntukan wang tunai untuk membeli peralatan sukan. – MalaysiaGazette