Gita Gopinath.. foto Agensi
WASHINGTON – Pemulihan ekonomi global diunjur perlahan selagi wabak Covid-19 tidak dapat terkawal, kata Ketua Ekonomi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Gita Gopinath.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar usaha multilateral dilakansakan untuk membendung virus tersebut.
Gopinath berkata, prestasi ekonomi pada suku kedua kurang mengerikan dan pemulihan global dijangka kukuh pada suku ketiga.
Walau bagaimanapun, momentum boleh menjadi perlahan selepas itu.
“Kita masih hidup dengan pandemki yang akan memperlambat pemulihan ekonomi, terutamanya dalam sektor perkhidmatan intensif  tidak akan pulih sepenuhnya selagi pandemi tidak terkawal,” kata Gopinath.
Dalam laporan Tinjauan Ekonomi Dunia terbaharunya, IMF mengunjurkan ekonomi global menguncup sebanyak 4.4 peratus pada tahun 2020, naik 0.8 mata peratusan berbanding unjuran bulan Jun.
Walaupun tinjauan disemak semula, Gopinath mengatakan krisis pandemik yang berlarutan ini kemungkinan besar lebih panjang,  tidak sekata dan sangat tidak pasti.
Masih terdapat ketidakpastian yang luar biasa mengenai prospek ekonomi global, menurut laporan tinjauan itu yang menyoroti risiko penurunan seperti kebangkitan virus, peningkatan peraturan  perdagangan dan pelaburan serta ketidakpastian geopolitik yang meningkat.
“Kami sangat prihatin dengan kemungkinan gelombang kedua,” kata Gopinath dalam wawancara bersama Xinhua.
Tambah Gopinath: ”Dan jika memang ada gelombang kedua yang serius, yang membawa kepada langkah-langkah penahanan dan sekatan yang lebih luas, maka itu tentu akan menjadi risiko penurunan besar pada ramalan kami.”
Ketegangan perdagangan, sementara itu, juga menjadi perhatian utama, kata Gopinath, menyatakan bahawa ia telah menjadi masalah bahkan sebelum wabak koronavirus melanda dunia.
Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia menunjukkan jumlah perdagangan global berada di landasan untuk menyusut 10.4 peratus tahun ini, diikuti dengan kenaikan 8.3 peratus tahun depan, seiring dengan permintaan global yang lemah, katanya, sambil menambah sekatan perdagangan setakat ini menjadi faktor penting dalam penguncupan perdagangan global.
Walaupun begitu, tambahnya, ketegangan perdagangan sebagai salah satu risiko penurunan besar pada masa depan.
“Anda mungkin telah memburukkan ketegangan perdagangan dan pelaburan serta eknologi. Ini sudah tentunya memberi kesan terhadap pemulihan global.
“Negara-negara harus berhati-hati untuk tidak menjadi pelindung tetapi bekerja sama dengan negara-negara lain,” kata Gopinath, sambil menambahkan usaha mereformasi sistem perdagangan global juga penting, dengan banyak pekerjaan yang diperlukan untuk memodenkan peraturan pelbagai hala berdasarkan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia.
Sementara itu, Gopinath mengingatkan bahawa China juga akan berada dalam risiko jika terdapat “kelemahan berterusan dalam ekonomi global,” sambil menambah bahawa penting bagi ekonomi global untuk pulih.
Pertumbuhan kumulatif dalam pendapatan perkapita untuk pasaran baru muncul dan negara maju (tidak termasuk China) untuk tahun 2020-2021 diunjur lebih rendah daripada pertumbuhan ekonomi maju.
Ini bermaksud perbezaan pendapatan antara kedua kelompok diunjur akan memburuk.
“Sokongan antarabangsa akan diperlukan, terutama untuk negara-negara membangun berpendapatan rendah,” kata ketua ekonomi IMF, sambil menambahkan bahawa perlu ada pembiayaan yang lebih banyak, lebih banyak bantuan, lebih banyak geran dan lebih banyak pelepasan hutang.
Gopinath juga menyatakan krisis ini “kemungkinan akan meninggalkan parut dalam jangka sederhana,” ketika pasaran buruh mengambil masa untuk sembuh, pelaburan terpaksa ditangguhkan oleh ketidakpastian dan masalah imbangan kira-kira dan modal insan yang terjejas.
Kerugian kumulatif dalam pengeliran kepada unjuran pra-pandemik dianggarkan meningkat daripada AS$11 trilion pada 2020-2021 menjadi AS$28 trilion pada 2020-2025, menurut laporan itu.
Untuk merapatkan jurang, negara-negara perlu mencari jalan untuk menyelesaikan krisis kesihatan, katanya, sambil menekankan bahawa kerjasama antarabangsa lebih besar diperlukan berbanding sebelum ini.
IMF menganggarkan bahawa jika penyelesaian perubatan dapat disediakan dengan lebih cepat dan lebih luas, ia dapat meningkatkan pendapatan global terkumpul hampir AS$9 trilion pada akhir tahun 2025. – MalaysiaGazette