Muhammad Faisal Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Semua parti politik diminta mengambil inisiatif bersama untuk menggubal undang-undang bagi menghalang gejala mempermain mandat rakyat daripada berulang kembali.

Ini termasuklah menggubal dan meminda undang-undang untuk memberi kuasa kepada pengundi di sesuatu kawasan untuk melucutkan status Ahli Parlimen menerusi mekanisme tertentu seperti petisyen dan pungutan suara atau mana-mana mekanisme bersesuaian sekiranya Ahli Parlimen gagal menghormati mandat yang diberikan menerusi pilihan raya atau terlibat dengan sebarang perlakuan yang melanggar undang-undang negara.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya menegaskan perebutan kuasa yang berlaku berpunca dari pengkhianatan mandat rakyat terutama ketika berlakunya “Langkah Sheraton” jelas menampakkan suara rakyat yang diterjemahkan menerusi pilihan raya umum telah dipijak dan diperlekeh oleh mereka yang mementingkan survival kekuasaan semata-mata.

Oleh itu, ABIM mengetengahkan contoh The Recall of MPs Act 2015 di United Kingdom (Akta Pelucutan Ahli Parlimen) sebagai model, sekiranya undian petisyen untuk memaksa seseorang Ahli Parlimen meletakkan jawatan mencapai kadar jumlah tertentu yang ditetapkan, maka seseorang Ahli Parlimen wajib letak jawatan dan Pilihan Raya Kecil bakal diadakan.

Saranan ini setidak-tidaknya akan memberi kuasa yang lebih besar kepada rakyat untuk berperanan bagi mengelakkan permainan mandat rakyat kembali berulang apabila budaya kotor tawar menawar berlaku.

Katanya, ABIM juga menggesa seluruh warga khasnya ahli politik memberi fokus bekerja dengan lebih giat untuk menjayakan pemulihan ekonomi negara yang terkesan teruk ekoran faktor domestik dan faktor global.

Kegawatan kewangan dan ekonomi rakyat khususnya kelompok belia – anak muda, warga berpendapatan rendah, dan rakyat terpinggir harus diberikan perhatian oleh semua pihak dengan kadar segera.

Tambah beliau, para pemimpin politik juga digesa untuk memberi komitmen terhadap agenda reformasi khususnya dalam memulihkan ketelusan sistem pentadbiran negara bagi mengelakkan sebarang kepincangan, ketirisan, kewenangan, salah guna kuasa dan rasuah terus berleluasa dalam kalangan mereka yang berkuasa. – MalaysiaGazette