Orang awam yang memakai pelitup muka setelah kerajaan mewajibkan penggunaan di tempat awam dan pengangkutan awam yang sesak bermula 1 Ogos hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Tar, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 1 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Tidak memakai pelitup muka merupakan kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) paling banyak direkodkan berbanding kesalahan lain semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sebanyak 223 individu dikenakan tindakan kerana tidak memakai pelitup muka daripada 661 orang yang ditahan polis semalam.

Justeru Ismail berharap pemakaian pelitup muka tidak dipandang ringan.

“Daripada jumlah itu, seramai 632 individu telah dikompaun. Seramai 27 individu pula direman dan dua dijamin. Antara kesalahan ingkar arahan PKPP lain adalah tidak mengamalkan penjarakan fizikal (191), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (112), langgar syarat/perintah di kawasan PKPB (75), aktiviti di pusat hiburan (45) dan 15 kesalahan lain-lain.

“Jadi saya harap kita tidak memandang ringan terhadap arahan atau SOP mengenai pelitup muka ini walaupun ia nampak seolah-olah remeh oleh beberapa individu seperti ini tetapi kesannya adalah tindakan akan diambil oleh pihak polis terhadap yang melanggar SOP memakai pelitup muka. Saya harap patuhlah kepada setiap SOP yang dikeluarka,” katanya.

Beliau menyatakan demikian menerusi siaran langsung di Facebook mengenai perkembangan hari ke-215 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hari ke-131 PKPP dilaksanakan.

Pemakaian pelitup muka diwajibkan bermula 1 Ogos lalu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Mengulas mengenai Ops Benteng, Ismail memaklumkan seramai 497 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan 28 tekong telah ditangkap di negeri Sarawak sejak Mei 2020.

“Selain di Sabah, kerajaan juga memberi tumpuan terhadap kawalan keselamatan di sempadan negeri Sarawak di bawah Ops Benteng merangkumi kawasan daratan dan juga perairan dari dibolosi PATI dan jenayah rentas sempadan.

“Bagi kawalan di daratan, sebanyak enam operasi dilaksanakan iaitu Op Awas/Kerisparang, Op Kerangka, Op Suluh Kenyalang, Op Jagakawan, Op Awas/Batas dan Op Benteng,” katanya.

Pasukan Gerakan Am (PGA) juga tambah beliau,turut mengadakan kawalan di 11 Pos Tetap dan 29 pos baharu di lokasi tambahan bagi Ops Benteng. – MalaysiaGazette