KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Malaysia mendesak kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengemukakan kepada rakyat status siasatan kes kematian anggota Bomba dan Penyelamat, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, bukan saja orang ramai, malah rakan dan ahli keluarga Allahyarham juga menaruh harapan tinggi agar kes itu mendapat pembelaan sewajarnya walaupun sudah hampir dua tahun berlaku.
Sehingga kini, katanya, sejak kali terakhir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mencadangkan membuka inkues semula dan dikritik netizen pada Ogos lalu, nampaknya masih tiada tindakan susulan dimaklumkan.
“Ibarat isu kematiannya cuba disenyapkan sedikit demi sedikit dan tidak diambil peduli oleh kerajaan sama seperti zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH). Ini seperti sengaja dilengahkan seperti ada tujuan tertentu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Keputusan Mahkamah Koroner pada 27 September tahun lalu, memutuskan punca kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu tidak dikenali.
Menurut Nasrul Ali Hasan, keputusan itu ibarat sekadar satu laporan atas kertas sahaja, kerana tiada penangkapan suspek, tiada hukuman dijatuhkan.
Kejadian itu, kata beliau, ibarat kes misteri yang tiada jawapan, walaupun laporan inkues sudahpun dikeluarkan.
Justeru, ujarnya, Wira Putra mahu KDN mengambil tindakan segera dan menggerakkan pasukan bagi membawa keadilan dan menghukum pembunuh yang masih bebas.
“Tindakan membiar suspek bebas dan tidak dihukum menunjukkan kelemahan fungsi penguatkuasaan serta tidak wajar berlaku kerana Wira Putra yakin dan percaya pihak berkuasa di Malaysia amat berpengalaman mengurus hal kritikal seperti ini.
“Kita juga memohon KDN membuat kenyataan status terkini bagi memaklumkan kepada rakyat perkembangan kes ini agar rakyat dapat mengetahui sama ada keadilan kes ini sedang ditegakkan atau ia disejuk bekukan.
“Wira Putra mengecam sekerasnya jika ia sengaja dilengahkan atas faktor campur tangan politik,” katanya.
Beliau berkata, keadilan dan kebenaran perlu ditegakkan bagi memastikan integriti penguatkuasaan di negara kekal dipandang tinggi oleh rakyat.
Ia katanya, amat keji jika hanya menjadi modal politik dan akan mula diselesaikan apabila sampai tempoh tertentu seperti apabila menghampiri PRU. – MalaysiaGazette
















