Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua kluster baharu iaitu Kluster Hentian melibatkan daerah Hulu Langat dan Kluster Bukit di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin di Melaka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Hulu Langat merupakan kes indeks yang dikenal pasti menerusi kes ke-18,664 dan positif Covid-19.

“Ia adalah hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti enam lagi kes positif wabak itu,” katanya pada sidang media mengenai penularan  Covid-19 hari ini.

Bagi Kluster Bukit pula, indeks bagi kes itu dikenal pasti menerusi kes ke-17,531 yang mana saringan terhadap individu bergejala pada 13 Oktober lalu yang telah dimasukkan ke Hospital Melaka, ujar beliau.

Katanya, hasil saringan kontak rapat telah mengenal pasti 14 lagi kes positif Covid-19.

Sehingga pukul 12 tengah hari, seramai 89 individu telah disaring di mana 15 kes dikesan positif Covid-19, 73 individu negatif manakala seorang lagi masih menunggu keputusan. – MalaysiaGazette