Paul Yong Choo Kiong

IPOH – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan tiga hari bermula 21 Dis depan untuk perbicaraan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia yang dihadapi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong.

Hakim Norashima Khalid menetapkan tarikh berkenaan berikutan dua lagi peguam yang mewakili Yong iaitu Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir menghadapi kekangan untuk menghadiri perbicaraan yang dijadualkan hari ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang.

Pada prosiding hari ini, Yong diwakili peguam Farhan Sapian dan Surindar Singh manakala pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri Perak, Azhar Mokhtar.

Norashima turut menetapkan 20 Nov ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Sementara itu, Farhan ketika ditemui di luar mahkamah berkata pihaknya sedang menunggu Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh perbicaraan yang baharu berhubung rayuan untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi memandangkan perbicaraan yang sepatutnya diadakan pada Rabu lepas tidak dapat dijalankan kerana PKPB.

Pada 23 Ogos 2019, Yong yang ketika itu Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol pembantu rumahnya, di kediamannya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam dengan 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

Pada 10 Feb lepas, Mahkamah Rayuan di Putrajaya menolak permohonan Yong untuk memindahkan perbicaraan kes rogolnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi sebelum pasukan pembelaan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan pada keesokannya.- BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.