Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe bercakap pada sidang media mengenai kejayaan tangkapan penipuan pelaburan tidak wujud di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 19 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Satu sindiket pelaburan yang menjanjikan pulangan sehingga RM1 juta dengan pelaburan minimum RM100 dilumpuhkan polis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, bertindak atas maklumat dan laporan polis empat mangsa sindiket pelaburan ‘kendalian’ Syarikat Barclays Private Investment Project (BPIP), seorang wanita berusia 54 tahun ditahan di kediamannya di Kondominium Bukit Idaman, Selayang pada malam Jumaat lalu.

Katanya, wanita itu yang menyedari mangsa telah membuat laporan polis cuba melarikan diri namun ditangkap polis.

“Kami telah berjaya merampas barang-barang dokumen BPIP, buku resit, komouter riba dan telefon bimbit yang disyaki digunakan dalam pelaburan ini.

“Hasil soal siasat terhadap wanita itu mengakui operasi pelaburan itu diwujudkan sejak tahun 2015 dan dia telah diangkat mengetuai sindiket pelaburan itu dan mendakwa projek pelaburan BPIP itu merupakan dana dari San Francisco Barclays Orivate Equity (dana luar negara) diwujudkan untuk membantu umat Islam yang menghadapi masalah kewangan.

“Suspek juga mengakui pelabur-pelabur diperolehi daripada sub-leader serta pemegang saham yang berjumpa dengan pelabur secara bersemuka yang mana dia bertanggungjawab menerima wang pelaburan dan menyerahkan dokumen berkaitan pelabutan itu,” katanya dalam sidang media di IPD Gombak hari ini.

Bagaimanapun seorang lelaki, Lukman Hakim Abdullah, 53, dari Kampung Datuk Keramat yang disyaki pengasas sebuah syarikat pelaburan serta seorang wanita yang merupakan ketua sindiket itu, Norlela Omar, 49, dari Jalan Ipoh sedang diburu polis.

Menurut Arifai, dokumen diberikan kepada pelabur seolah syarikat itu benar-benar wujud.

Tambah beliau, suspek wanita itu juga mengaku mempunyai 182 pemegang saham di bawah rangkaian pelaburan yang tidak wujud itu yang mana 68 daripadanya masih aktif manakala 114 orang lagi tidak aktif.

Katanya, setiap mereka berurusan melalui WhatsApp ‘RBM Group Trillion Members’.

“Dia bukan sahaja berurusan menerusi WhatsApp, mereka turun ke lapangan mengajak rakan-rakan kenalan dan ahli keluarga mereka selain kenalan untuk melabur dalam pelaburan itu.

“Kesemua pelabur dikehendaki membuat bayaran minimum RM100 dan bayaran lain secara berperingkat mengikut permintaan pelabur dengan menjanjikan pulangan lumayan mencecah jutaan ringgit.

“Suspek wanita yang ditahan itu juga mengakui mereka telah memperolehi sehingga RM2juta dari pelabur yang dimasukkan ke dalam akuan syarikat itu sambil mendakwa dia akan menerima komisen 10 higga 30 peratus daripada wang pelaburan orang ramai.

‘Manakala selebihnya diserahkan kepada suspek utama (masih bebas) ke dalam akaun yang berlainan,” ujarnya.

Kata Arifai, daripada lima laporan yang diterima daripada mangsa setakat ini, jumlah kerugian maksimum mereka adalah RM10,000 seorang.

“Saya meminta mangsa-mangsa dalam kalangan 182 orang itu melaporkan kepada kami supaya dapat membantu siasatan kes untuk tindakan ke atas mereka yang terlibat.

“Justeru saya nasihati orang supaya berwaspada dengan iklan-ikmlan serta tawaran yang boleh menyebabkan mereka menjadi mangsa penipuan,” katanya. – MalaysiaGazette