Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Tiga jenis ubat-ubatan yang sebelum ini digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 didapati tidak berkesan merawat penyakit itu.

Bagaimanapun, hanya ubat radang jenis Dexamethasone sahaja yang didapati berkesan untuk merawat radang paru-paru, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, tiga jenis ubat berkenaan adalah Remdesivir dan Hydrocloroquine iaitu ubat dalam kajian bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dua lagi adalah kombinasi ubat Lopinavir/Ritonavir yang sebelum ini digunakan untuk merawat pesakit HIV/AIDS.

Beliau berkata, kajian dijalankan terhadap 190 pesakit Covid-19 menggunakan protokol ditetapkan WHO.

“Hasil kajian kita dapati tiga ubat iaitu Remdesivir, didapati tidak membantu dalam mengurangkan jumlah kematian, mengurangkan kemasukan ke hospital dan menghalang pesakit kategori tiga dan empat menjadi kategori lima.

“Ubat ini tidak berkesan untuk menghalang perkembangan penyakit itu.

“Jadi kita dapat simpulkan Remdesivir tidak berkesan untuk kita merawat Covid-19.

“Kita juga telah dimaklumkan daripada kajian bersama bahawa ubat Hydrocloroquine yang satu masa kita gunakan juga tidak berkesan. Begitu juga ubat Lopinavir/Ritonavir yang satu masa kita gunakan secara ‘off label’ pada permulaan jangkitan di negara kita, kita dapati ia tidak berkesan dalam merawat pesakit Covid-19,” katanya pada sidang media mengenai penularan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kajian pihaknya mendapati, ubat Dexamethasone untuk menghalang radang paru-paru adalah berkesan. – MalaysiaGazette