Penduduk mengambil bekalan air yang disediakan Air Selangor selepas penduduk sekitar mengalami gangguan bekalan air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Setapak, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 19 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Sebanyak 460 dari 1,292 kawasan atau 36 peratus terjejas menerima bekalan air sepenuhnya setakat pukul 12 tengahari, hari ini.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) berkata, baki 832 kawasan lagi dalam proses pemulihan.

“Pemulihan bekalan air di Hulu Selangor mencecah 88 peratus, Kuala Selangor (77 peratus), Gombak (42 peratus), Petaling (37 peratus), Klang/Shah Alam (tujuh peratus).

“Sementara Kuala Lumpur dan Kuala Langat masing-masing masih sifar peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pengguna yang sudah menerima bekalan perlu membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan.

Tambahnya, bantuan bekalan air di pili-pili awam dan pusat khidmat setempat masih disediakan untuk kemudahan pengguna yang terjejas.

“Air Selangor berharap pengguna yang sudah mendapat bekalan menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar,” ujarnya lagi.

Status terkini bekalan air boleh didapati melalui Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor serta laman sesawang www.airselangor.com.

Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor, awal pagi semalam.

Susulan itu, seramai 1.2 juta akaun pengguna meliputi wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. – MalaysiaGazette