Pengoperasian hospital medan itu merupakan sebagai sokongan kepada hospital Kementerian Kesihatan (KKM) dengan fokus rawatan kepada pesakit selain Covid-19.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  di Tawau, Sabah mula beroperasi hari ini dengan menerima empat pesakit bukan COVID-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pengoperasian hospital medan itu merupakan sebagai sokongan kepada hospital Kementerian Kesihatan (KKM) dengan fokus rawatan kepada pesakit selain COVID-19.

“Ini memberi ruang kepada Hospital Tawau memberikan tumpuan kepada kes COVID-19,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Beliau berkata susulan peningkatan kes COVID-19 di Penjara Kepayan, Kota Kinabalu, ATM akan mewujudkan hospital sementara di perkarangan kawasan itu yang berperanan sebagai pusat rawatan atau tempat pengasingan pesakit COVID-19.

“Ini (hospital sementara) adalah mengikut model serupa yang telah dilaksanakan seperti di Penjara Pokok Sena, Kedah sebelum ini,” kata Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan.

Beliau berkata ATM juga bersedia mewujudkan hospital medan tambahan di kawasan yang ditentukan KKM sekiranya kes COVID-19 di Sabah terus meningkat dan memerlukan bantuan sokongan.

Hospital Medan ATM itu didirikan di gelanggang badminton Kompleks Sukan Tawau iaitu kira-kira 5.8 kilometer dari Hospital Tawau dan untuk permulaan, hospital tersebut dilengkapi 100 katil berserta unit rawatan rapi dan dewan pembedahan.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata Pasukan Khas Operasi Pematuhan PKPP menahan 460 individu atas kesalahan ingkar PKPP dengan 440 dikompaun dan 20 direman, semalam.

Beliau berkata penjarakan fizikal adalah kesalahan tertinggi dicatat melibatkan 167 individu, diikuti tidak memakai pelitup muka (159), gagal menyediakan peralatan atau merekodkan butiran diri (58) dan lain-lain kesalahan (76).

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata seramai 57 pendatang tanpa izin ditahan termasuk 15 di Kota Tinggi, Johor, manakala empat kenderaan dirampas semalam.

— BERNAMA