KUANTAN – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif memperkenalkan Program Kad Prihatin Pahang (PKPP) sebagai usaha menyokong pertumbuhan semula ekonomi setempat yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.
Menerusi PKPP itu, NGO Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP) berharap dapat membantu rakyat negeri itu mengurangkan kos sara hidup yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat PAKP, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir, sejak pelaksanaan PKP, hampir semua industri terjejas teruk akibat wabak itu yang menyaksikan ramai penduduk hilang pekerjaan dan punca pendapatan.
Katanya, menerusi program itu, pihaknya memperkenalkan sistem keahlian kad diskaun pertama yang ditawarkan kepada warga Pahang untuk berbelanja dari banyak tempat di seluruh negeri.
“Program ini boleh meningkatkan kuasa beli dan mengimbangi manfaat situasi menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
“Kad diskaun ini merangkumi sembilan skop perkhidmatan dan produk terpilih iaitu perkhidmatan kerajaan, pengangkutan, pusat rekreasi dan sejarah, penginapan, pusat jualan makanan dan minuman, pusat beli-belah, peruncitan, sukan dan pendidikan.
“Pelanggan hanya perlu menunjukkan kad ini untuk menikmati pelbagai diskaun menarik dari 5 hingga 50 peratus yang ditawarkan rakan niaga PAKP mengikut terma dan syarat ditetapkan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Kata Zuhairi, kos keseluruhan sistem kad itu bernilai RM2 juta dan dibangunkan oleh Trizure International Malaysia Sdn. Bhd.
Beliau menjelaskan, sistem PKPP itu berbeza dengan kad diskaun lain kerana pihaknya turut menempatkan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan peniaga atas talian (online) untuk memberi banyak pilihan kepada pelanggan mendapatkan barangan keperluan harian.
Menurutnya, kemudahan itu turut disediakan kepada pelanggan baharu untuk melihat kategori promosi dan pemasaran rakan niaga PAKP menerusi laman web www.pahang prihatincard.com
“Sejajar dengan slogan kami ‘Di Pahang, Segalanya Jimat’, kami meletakkan sasaran pengguna kad ini kepada kira-kira 500,000 orang sehingga pertengahan tahun depan, yang akan dijadikan pelanggan setia kepada rakan niaga PAKP.
“Sebagai permulaan, kami giat membuka pendaftaran rakan niaga dan jumlah penyertaan akan bertambah dari semasa ke semasa sebelum kad diskaun diedarkan kepada ahli di seluruh negeri,” katanya. – MalaysiaGazette
















