Kereta dan barang dadah yang dirampas dari pasangan tunang yang lari dari sekatan jalan raya yang dicekup di Rawang semalam.

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja hampir merempuh anggota polis di sekatan jalan raya, malah berjaya meloloskan diri – namun akhirnya pasangan tunang kecundang apabila mereka ditangkap di Rawang semalam.

Ternyata cubaan kedua-dua suspek warga tempatan melarikan diri ada kaitan dengan jenayah yang cuba disembunyikan apabila polis menemukan dadah jenis syabu dan pil di kira-kira jam 8.30 malam di Taman Bukit Rawang Raya.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, sepasukan polis yang bertugas di sekatan jalan raya di Batu 15 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh mendapati sebuah kereta jenis Honda Ferio berwarna kelabu gelap dipandu salah seorang suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Pihak polis telah mengarahkan kereta tersebut berhenti di bahu jalan untuk membuat pemeriksaan.

“Bagaimanapun, pemandunya enggan memberi kerjasama telah memecut keretanya dan hampir merempuh seorang anggota polis yang berada pada jarak anggaran 20 meter dari papan sekatan jalan raya.

“Tindakan suspek mengakibatkan anggota polis terlibat terjatuh dan mengalami kecederaan di pergelangangan tangan kanan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, beberapa anggota polis turut mengejar kereta suspek yang memecut laju melalui kawasan Jalan Tun Teja, Pekan Rawang, Sungai Choh dan masuk ke Taman Bukit Rawang Jaya.

Namun katanya, apabila tiba di Jalan 2/29 Taman Bukit Rawang Jaya suspek terpaksa memberhentikan keretanya kerana terperangkap di jalan mati .

“Semasa tangkapan cuba dilaksanakan suspek bertindak agresif dengan cubaan menekan minyak namun telah berjaya ditangkap.

“Hasil siasatan suspek lelaki mempunyai beberapa rekod jenayah dan dadah lampau manakala wanita berkenaan yang merupakan tunangnya juga mempunyai dua rekod lampau jenayah dan dadah.

“Pemeriksaan dalam kenderaan mereka berjaya merampas empat paket plastik lutsinar mengandungi dadah dipercayai jenis syabu, dua keping aluminium foil silver merah yang mengandungi 20 biji pil disyaki dadah jenis Eramin 5 bernilai anggaran lebih RM2,000,” ujuar beliau.

Menurutnya pasangan itu terlibat dalam kegiatan terlarang itu lebih kurang tujuh tahun.

Tegas beliau, kedua-dua suspek direman enam hari bermula hari ini sehingga 25 Oktober untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B, 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Ujian air kencing dijalankan ke atas mereka dan suspek lelaki positif syabu manakala tunangnya negatif,” katanya. – MalaysiaGazette