Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah) bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi, Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian (kiri) melihat keadaan air yang tercemar di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa Dua, Bestari Jaya, Kuala Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung isu pencemaran baik yang berlaku di Sungai Selangor, baru-baru ini.

“Siasatan dilakukan dengan kerjasama JAS dan LUAS mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan khianat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Pas itu berkata, aktiviti operasi kilang haram di sekitar kawasan sungai itu memberi cabaran buat pihaknya memantau pencemaran sungai yang berlaku.

Oleh yang demikian, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah ditugaskan untuk memantau sepanjang masa sebarang aktiviti pembuangan sisa tercemar di sepanjang Sungai Selangor.

Pencemaran sumber air mentah itu dikesan pada pukul 2 pagi Isnin lalu.

Ia lalu menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang.

Pengurusan Air Selangor hari ini berkata, sejumlah 715 daripada 1,292 kawasan sudah menerima bekalan air setakat jam 3 petang tadi.

Ini bermakna, sebanyak 577 kawasan masih dalam proses pemulihan. – MalaysiaGazette